Sunday, May 20, 2012

20.5.2012

Menoleh ke belakang pada hari-hari yang ditinggalkan terasa waktu bergerak begitu pantas tanpa dapat ditahan-tahan. Siapalah yang dapat menahan pergerakan masa jikapun ia bergerak dengan pantas atau perlahan sekalipun. Pantas atau perlahan pergerakan masa hanyalah perasaan kita semata-mata. Hakikatnya setiap minit itu tetap  enampuluh saat. Setiap jam mempunyai enampuluh minit. Setiap hari ada duapuluh empat jam. Ukurlah dengan cara apa sekalipun. Samada dengan jam tangan, jam loceng, jam dinding ataupun jam menara, ukuran masa tetap sama. Tak kiralah guna jam jenama apa. Casio, Seiko, Citizen, Timex, Bvlgari, Mont Blanc, Patek Philip, Rolex, hatta jam cap ayampun, itulah waktu yang telah kita lalui. Masa yang berlalu tak mungkin dapat diundurkan.

Masa akan terasa cepat pergerakannya jika kita cuma ada waktu yang terhad untuk menyempurnakan sesuatu perkara. Contohnya bila dah terlewat nak pergi kerja, maka terkocoh-kocohlah mencapai itu dan ini. Semua yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehinggakan adakalanya keselamatanpun terabai. Begitu juga bila menghadapi peperiksaan. Masa satu atau dua jam yang diperuntukkan macam rasa beberapa minit sahaja. Bila pula waktu dirasai sangat lambat? Senang saja. Bagi yang kerja makan gaji, menanti hujung bulan terasa terlalu lewat. Apatah lagi bila belum tengah bulan dah 'kering kontang'. Bagi yang remajapun kadang-kadang terasa juga lewatnya. Bilalah nak meningkat dewasa. Bilalah nak habis belajar. Bilalah nak kerja. Bilalah pula nak kahwin!

Sebenarnya masa ini tidak perlulah dikejar atau dinanti. Laluilah ia seadanya. Jika kerap rasa tak cukup masa, selalulah bersedia dari awal. Tetapkan jadual dan disiplinkan diri. Tentukan juga apa yang dikehendaki. Jangan mengikut orang. Sebaliknya jadikanlah diri sebagai ikutan. Barulah dapat mengawal masa. Rasa lambat sebenarnya menandakan diri tidak cukup bersabar. Bukankah sabar itu sebahagian daripada iman. Janganlah dibazirkan masa. Gunalah nikmat masa yang ada ini dengan sebaik-baiknya. Jika tidak, nanti menyesal dikemudian hari.

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali yang berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran" - Surah Al-Asr ayat 1-3.

2 comments:

  1. Hmm... memang selalu rasa tak cukup masa...
    Bula makin dewasa... masa seakan semakin pendek...
    Sekejap dah sehari..
    Sekejeap dah seminggu..
    Sekejap dah sebulan..
    Sekejap dah setahun..

    ReplyDelete
  2. Syukur kita masih bernafas lagi...hi hi...

    ReplyDelete