Monday, June 7, 2010

Allah Selamatkan Papa Kami

Allah selamatkan Papa, Allah selamatkan Papa, Allah selamatkan Papa kami, Allah selamatkan Papa... Itulah dendangan doa anak-anak khas untukku sempena hari lahirku semalam. Diam tak diam aku dahpun mencapai angka 40an terakhir rupanya. Anak-anakpun nampaknya makin besar dan sporting. Mereka dah pandai belikan sedikit juadah untuk kami sama-sama nikmati sempena hari tersebut. Sempat juga 2 orang anak-anak yang tua belikan hadiah, kedua-duanya buku. Nampaknya mereka faham minatku. Edi belikan buku setebal 630 halaman, Diaries 1969-1979 oleh Michael Palin. Apa agaknya yang diharapkan oleh si Edi ni daripada aku untuk membaca catatan tebal peribadi pelawak ini? Ada hikmah rupanya. Hari ini aku telah mulakan langkah pertama, membuat catatan harian apa yang ku rasakan menarik dalam tugas harian. Harapnya bila bersara nanti aku ada catatan lengkap yang menarik untuk diimbas kembali! Ijat pula hadiahkan buku Jejak Bisnes Rasul oleh Prof. Emeritus Dr. Mohamed Sulaiman dan Aizuddinur Hj. Zakaria. Buku ini telah ku teliti sekali lalu dan amat berguna untuk panduan businessman muslim. Ada catatan pengantar oleh Dato' Hj. Samuri, Pengarah Urusan Kumpulan Sate Kajang Haji Samuri. Si Ijat ni tahu aku berminat dalam produk makanan halal muslim, mungkin berkat dorongan begini aku bertukar haluan suatu hari nanti. Berbalik kepada sambutan hari lahir, sekeping kek dan juadah pizza sudah cukup untuk kami bagi meraikannya. Terpenting anak-anak semua di sisi dan isteri sanggup berkorban belanja. Sebenarnya aku telahpun belanja keluarga western food malam sebelumnya. Memang aku takkan dapat lari dari kena belanja sebab anak-anak ini masih lagi bergantung kepada papa dan mamanya. Apapun aku bersyukur diberikan Allah umur seusia ini. Terima kasih juga kepada semua yang mengingati. Ingatan kalian amat ku hargai. (Ku sertakan juga gambar pokok bunga yang dihadiahkan olah rakankerja semasa hari lahirku dua tahun lalu. Tetap subur dalam peliharaanku. Nostalgia!)

No comments:

Post a Comment