Monday, July 5, 2010

Kematian, Sakit dan Hari Lahir

Dinihari, Khamis lalu, 1 Julai 2010 ibu saudaraku (Cik) meninggal dunia di Singapura. Ibu saudara terakhir! Hasrat nak ziarah tak kesampaian kerana aku sendiri tidak sihat. Dr Nik paksa aku rehat dan beri mc 2 hari. "Panjang lagi ke umur saya ni, Doc?", aku bertanya. "Jauh lagi ni...!". Malas dia nak melayan. Entahlah. Tapi kebelakangan ini suka benar aku bertanya soalan itu kepada isteri, saudara, rakan, teman dan kenalan. Semua jawapan yang diberi nak menyedapkan hati aku agaknya. Apapun bagiku bagus juga jika mengingati mati, sekurang-kurangnya dok timbang-timbang juga banyak mana kebaikan yang dah dibuat. Soal diterima atau tidak itu urusanNya.
Tak dapat ke Singapura, hari jumaat, aku ajak adik-adik dan kakak serta sepupu datang rumah. Sambil ziarah aku yang 'sakit' ni kami sempat juga solat berjemaah bersama sambil baca Yaasin dan bertahlil arwah. Jemaah aku semuanya perempuan, kecuali si Ayep. Ada juga 'pak bilal'. Moga apa yang kami hadiahkan sampai kepada roh-roh yang berada di alam barzakh. Amiin...
Adalah juga sedikit juadah yang mereka sediakan. Bukan tak nak jemput jiran tapi kami buat majlis kecil untuk keluarga sahaja.
Sambil itu sambut juga hari lahir Mira, anak saudara ku si manis 17! Mira memang anak saudara kesayanganku. Dia rajin, bijak dan disenangi semua orang. Kek tu ajelah yang uncle sempat belikan. Selamat Hari Lahir Mira....

1 comment: