Sunday, January 15, 2012

15.1.2012

Hari ini memang hari untuk bersantai-santai. Pagi ni kami tiga beranak breakfast di warung Hasan di Tengkera. Dalam 12km juga jaraknya dari rumah. Nasib kami baik sebab bila tiba ada satu meja kosong. Orang berbaris untuk ambil sendiri telur goreng spesialnya juga belum berapa ramai. Aku pesan mee bodoh 4 piring untuk 3 orang makan. Biasalah kalau sedap makan mesti bertambah bila hero yang seorang tu ikut. Happy sangat pagi ni dia follow lagi untuk breakfast walaupun dia tak mandi pagipun lagi!

Sekejap saja orang dah penuh di warung Hasan ni. Semua bangsa ada. Tak kira tua muda. Cuma makan di sini tak bolehlah nak duduk lama-lama sebab bila pinggan dah kosong mesti ada pelanggan lain yang dah menunggu belakang kita nak ambil alih tempat. Untuk 3 orang makan siap dengan telur goreng dan air teh 0 dan kopi cuma belanja RM 11.80. Selain sedap, harga makanan yang murah memang menjadi tarikan. Digelarkan mee bodoh sebab mee gorengnya hanya semata-mata mee dan tauge saja dan di tabur racikan timun. Yang jadikannya sedap adalah rasa sambalnya dan mee yang digoreng secukup masaknya. Telur goreng yang boleh ditambah sambal dan timun adalah optional. Itu menambahkan lagi spesialnya mee goreng pak haji ni.

Pergi ke kereta yang aku parking depan rumah tepi jalan tu, ada nyonya tua yang datang mengomel. 'Lain kali kasi taruh kereta belakang sikit. Latuk tak boleh masuk lo'. Kereta aku menghalang pintu masuk rumahnya yang berkunci. 'Habis kalau pintu tutup macamana latuk nak masuk', aku menyindir dalam hati. Dia memang kurang siuman. At last dia mintak seringgit nak bagi makan kucing katanya. Ditangannnya bergulung-gulung duit dipegang. Bagi saja seringgit jangan banyak soal-jawab. Pening juga kepala aku bila dia tak berhenti-henti cerita selain bau hapak badannnya yang dah lama tak mandi tu menyengat hidung.

'Masih pagi lagi ni, jom tengok Sungai Melaka'. Aku yang drive, tiada siapa membantah. Nampaknya parking tepi sungai tu dah tak ada lagi sejak Casa de Rio ni mula beroperasi. Nasib baik ada parking kosong di jalan sebelah tu. Jalan kaki sedikit  untuk sampai ke tepi sungai. Pagi ini sungai agak berbau, tapi tetap tenang dan menarik. Tak ada siapa yang menyusuri tebing sungai yang dibina cantik ni selain seorang Mem dengan cucunya. Pastinya dia menginap di hotel Casa de Rio yang mewah ini. Hotel ini menghadap Sungai Melaka. Tebing sungai tidak disekat, sesiapa pun boleh melintasi hotel ikut tebing sungai hingga ke hujungnya. Aku sempat mengintai-intai lanscaping dan binaan hotel ini. Memang cantik. Kolam koi dan air terjun kecil yang ada di situ memang menarik minat aku. Suatu hari nanti aku nak bina kolam koi yang panjang dan air terjun bertangga di tepi rumah aku macam yang ada kat sini.

Sebelum ke kereta aku terus menyusur ke Jonker Walk. Sini meriah jika malam Sabtu dan minggu. Nampaknya walaupun banyak kedai-kedai yang masih tutup tapi pelancong agak ramai melihat itu ini dan mengambil gambar-gambar. Orang luar berbelanja besar untuk datang ke Melaka ini. Aku rasa bertuah kerana ini tempat kami sendiri.

Haluan baik kami lalui jalan Klebang untuk mencari sedikit lauk. Banyak daun dan ranting pokok di tepi jalan yang jatuh. Agaknya malam tadi bukan sahaja hujan tetapi turut ribut. Di pasar Klebang yang kecil itu hanya sebuah saja 'batu' yang berniaga. Ikanpun nampaknya mata dah merah-merah. Ikan tak segar lagi. Aku masuk kereta dan gerak ke Pantai Puteri. Melalui kedai nasi lemak depan SK Lereh dan kedai makan lempeng di Tg Kling nampaknya semua penuh sesak dengan orang. Memang budaya minum luar di pagi minggu dah jadi tradisi rupanya apatah lagi makanan yang disedikan menyelerakan. Lain kali aku kena singgah makan nasi lemak atau lempeng pula.

Di pasar Pantai Puteri orang lebih ramai dari ikan yang ada. Harganya pulak cukup mahal. Aku cuma dapat beli ikan caping, sebab itu saja yang ada. Ikan ini bukanlah sedap sangat walaupun bentuknya macam bawal. Harga sekilo RM 23.00. 'Mahal betul', bisik makcik sebelah. Apa nak buat beli saja. Makcik yang tua tu pun dah memilih dua tiga ekor walaupun merumgut. Agaknya sepuluh tahun lagi harga-harga ikan ni berapalah pula. Singgah pulak kat van jual daging. Sekilo daging RM 18.00 dan sekilo selangka RM 16.00. Ikutkan lebih untung beli daging tapi sebab teringin nak buat sup nanti aku beli juga tulang selangka.

Duduk-duduk menatap paper tak sedar dah masuk zohor. Le[as solat zohor berjemaah dengan wife bersiap pulak nak cari makan untuk lunch. Dah janji nak makan pizza pulak. Oklah sebab hari ni nak bersantai-santai layan saja. Sempat juga singgah kedai kereta terpakai depan Tmn Asean. Anak bujang ni asyik mengigau nak tengok satria. Lesen belum dapat dah berangan-angan. Akupun sebenarnya nak tinjau-tinjau second value kereta-kereta yang ada. Membeli kereta second hand ni memang kena berhati-hati. Kita tak pasti sapa pemiliknya dulu dan apa dah terjadi dengan kereta tu sebelum ni. Dah accident ker, terjun gaung ker, tenggelam dalam banjir ke atau ada orang dah mati dalamnya ke. Itu semua bermain dalam kepala. Sebab nak survey jer dulu aku ucapkan terima kasih kepada penjual yang membuang masa melayan kami.

Pizza Hut Malim hari ni lengang saja nampaknya. Ada 3 meja sahaja pelanggannya. Sebab tak ramai orang sekejap saja order dah tiba. Kami order pizza baru yang ada udang atasnya. Lupa pulak namanya. Selera si Adzrif nampaknya bukan main lagi. Aku kurang selera sebab teringat anak yang dua orang lagi tu tak ada. Paling seronok bila dapat makan ramai-ramai bersama.

Ketika singgah membeli susu di Econsave tak sangka pulak orang begitu ramai. Sesak nafas aku dibuatnya. Ramai pelanggan tionghua membeli kelengkapan untuk sambut Tahun Baru Cina. Pasaraya yang kecil ni nampak macam nak meletup. Memang lemas aku dibuatnya. Tak tahan aku biarkan anak dan wife beratur panjang. Kepala aku rasa nak pitam.

Tiba rumah terus terbaring. Rasa nak terbaring terus. Lepas mandi dan solat makanpun selera dah tak ada. Ikan caping goreng dan masak asam pedas tu pun aku telan terpaksa. Tidor petang memang kepantangan aku. Tak tahan betul bila hidung dah berair. Sambil menulis blog aku dah telan pil selsema. Nyenyaklah aku lepas ni...

No comments:

Post a Comment