Friday, January 20, 2012

20.1.2012

Keluar rumah untuk pergi kerja cuaca nampak mendung arah selatan. Itu arah untuk ke pejabat. Wife dah keluar dulu untuk hadiri kuliah agama dwi-mingguannya di pejabat. 'Nampak gayanya hujanlah kawasan Bukit Bruang ketika ini', fikirku. Pagi ini aku harus terus ke Bruang Hill Resort (BRH) kerana ada sesi sembang pagi bersama pengamal media. Baru tiba di Bertam Malim hujan telahpun turun dengan lebatnya. Hujan rahmat pagi Jumaat.

Tiba di BRH, Salleh, Camilla, Azman, Ana dan beberapa staff lain dah sedia menunggu. Walaupun cadangnya berpakaian santai lengan pendek untuk majlis ini, nasib baik aku sarungkan jaket coklat Smart Master ke badan. Jika tidak mahu demam aku dalam kesejukan hujan pagi. Azman dah bersedia dengan payung untu sambut aku di kereta. Thank you, Man.

Pertama kali aku tiba di BRH ini yang asalnya adalah asrama penginapan kilang TEAC. Ia kemudian dibeli olah seorang doktor yang menjadikannya sebuah resort. Itu maklumat yang aku dapati bila berbual dengan F&B managernya. Apartment 2 bilik untuk penginapan 7 orang dikenakan RM350 termasuk breakfast untuk 7 orang, manakala 2 unit studio untuk 2 orang sebilik jika tak silap ratenya RM180. Ada juga kolam renang di sini. Kedudukannya di kaki bukit yang kekal greennya dan kawasan yang tiada gangguan menjadikan kawasan ini amat damai dan menenangkan. Tambahan dengan cuaca sejuk dek hujan, mirip-mirip berada di kawasan peranginan tanah tinggi rasanya pagi ni. Dapat free promo nampaknya BRH ni pulak.

Lebih 50 orang hadir dalam sesi sembang pagi sambil bersarapan. Sambutan menggalakkan daripada rakan-rakan pengamal media ini memang dialu-alukan. Itu juga menandakan mereka tidak menyisihkan diri dengan kami dan tidak hairanlah amat jarang keluar berita-berita negatif  mengenai kami berbanding di sesetengah negeri lain. Nampaknya juga YDP Kelab Media Melaka (KMM) kini diambilalih oleh Cikgu Jaafar seorang bekas guru dan veteran journalist. Watak beliau yang tenang, low profile dan matang memang disenangi dan  merupakan sifat yang sesuai sebagai seorang ketua. Satu kegemaran beliau adalah berkaraoke. Seketika dulu apabila diadakan makan malam di atas bot river cruise menyusuri Sg. Melaka, beliau hampir-hampir enggan melepaskan mic kerana asyiknya menyanyi.

Pada kesempatan bersama rakan media ini, boss sempat membawakan anugerah-anugerah yang diterima TNB Melaka baru-buru ini. Selain piala kemenangan DLT, anugerah terbaru Unit Bisnes Cemerlang Lestari baru baru diterima semalam daripada CEO juga dipersembahkan sama. Bukan untuk berbangga diri sebenarnya, tetapi adakalanya sangat baik berkongsi kemenangan itu kepada semua sebagai tanda semuanya itu hasil usaha bersama. Disamping itu dapat juga memberikan persepsi positif sebelum timbul salah-sangkaan. Boss aku memang handal dalam hal strategi begini.

Alhamdulillah nampaknya semua orang berpuashati dengan majlis yang dianjurkan. Terimakasihlah staff aku khasnya Camilla yang memang dah faham benar melengkapkan semua keperluan majlis. Mungkin lain kali boleh adakan majlis lain di sini kerana selain selesa, kosnya juga adalah berpatutan.

Bila semua orang dah balik aku temankan Boss untu berurusan dengan Fauzi Legal yang datang jumpanya untuk menandatangani dokumen perjanjian. Penat boss kena initial setiap mukasurat untuk 10 keping dokumen. Apapun itu tanda selesainya satu kes yang dah lebih 10 tahun tertangguh. Kini cek bernilai RM 300k+ telahpun ada ditangan. Selepas ini adalah 3 unit holiday apartment untuk staff di Melaka lengkap dengan kemudahan golf.

Walaupun tak banyak yang aku makan tadi semasa sarapan, perut pula mula meragam. Niat nak balik ke ofis bertukar mencari ofis kecil. Terus aku ke Masjid Bkt Bruang berdekatan. Masjid ini diinfakkan oleh Yayasan Al Bukhary pembinaannya. Mungkin atas keberkatan kerja-kerja kebajikannya itu, yayasan berkenaan amat maju. Baru beberapa hari lepas Proton telah diserahkan pemilikannya oleh Khazanah. Sebelum ini POS Malaysia juga telah jadi miliknya serta beberapa syarikat besar lain. Kesempatan berada di masjid ini aku sempat solat dhuha kerana jam belumpun sampai 12.00 tengahari.

Hajat nak pulang ke ofis, tapi sekejap lagi dah mula waktu rehat. Jadinya, daripada Masjid Bukit Beruang aku terus ke Kompleks Al 'Azim dan letak kereta depan Pusat Zakat. Nampaknya hari ini berhajat pulak nak solat Jumaat di Masjid Negeri. Sementara tunggu masuk waktu, aku singgah untuk lunch. Menu hari ini nasi kukus ayam berempah dan daging gulai kawah. Bolehlah tahan rasanya. Siap dengan teh O harganya RM 7.80. Murahlah tu jika nak banding dengan makan di KFC atau McD.

Solat Jumaat di Masjid Al 'Azim ni memang terasa syahdunya. Walaupun keadaan dalamnya agak panas tapi sangat mendamaikan. Walaupun aku tiba agak awal, dua saf di hadapan yang panjang itu telah dipenuhi oleh jemaah veteran yang memakai jubah dan berserban. Alhamdulillah. Terasalah pulak bila agaknya aku nak berserban dan berjubah macam mereka. Semua benda tu dah ada tapi tersimpan lagi tak berbuka dalam beg balik haji lebih 2 tahun dulu.

Nampaknya TYT juga bersolat di sini. Patutlah saf putih membentuk laluan dibentangkan. Beliau kemas berpakaian baju melayu berwarna biru cair lengkap bersamping songket. Aku hanya memandang dari jauh. Solat diimamkan oleh Imam Besar, Datuk Mohammad Hashim. Aku kenal beliau. Setiap patah khutbahnya aku dengar dan teliti. Penyampaiannya jelas. Khutbah hari ini berkaitan toleransi agama. Toleransi beragama bererti menghormati kepercayaan dan anutan pihak lain. Perkara ini sebenarnya amat dituntut oleh Islam. Islam tidak membenarkan umatnya mengganggu urusan agama pihak lain malahan perlu diberikan perlindungan. Mengganggu agama lain akan menyebabkan timbul konflik mempersendakan Islam oleh pihak agama lain pula kelak. Itu antara intipati yang dapat aku bawa balik.

Keluar dari masjid sempat pula aku ke Gedung Keluargaku. Teringatkan wife yang suka makan biskut cream cracker bersalut gula Munchy's. Susah nak cari walaupun di pasaraya besar sepert Tesco. Tapi di sini semua jenama Munchy's ada dijual. Aku beli 3 paket untuk wife. Kadangkala benda-benda kecil seperti ini sebenarnya menandakan kita prihatin dengan pasangan. Tak kiralah samada kita  sendiri tak sedar atau pasangan kita yang tak sedar. Cuma mungkin bila perhubungan telah terlalu lama perkara seperti ini diremehkan.

Nampaknya di pejabat ada perbincangan kes mahkamah lagi. Mesyuaratlah sekejap dengan Lawyer Wan  Zanariah dan Sanusi. Senang berurusan dengan lawyer yang berpengalaman ini. Dah siappun Q&A untuk aku. Cuma nak counter checks saja. Nampaknya untuk kes ini nanti aku kena pakai dua topi. Sekali ketika aku dulu ketuai pasukan pemeriksaan dan selepas itu sebagai pihak yang membuat tuntutan selepas aku bertukar jawatan tahun 2007 dahulu. InsyaAllah aku akan buat yang terbaik 30 hb nanti.

Hampir-hampir aku terlupa hari ini birthday Camilla. Siap suruh arrange something untuk Lai lagi hari ini. Semalam birthday Lai. Birthday dua orang staff aku ni dekat-dekat rupanya. 'Oklah. Jom Pizza kita lepas kerja nanti'. Aku suruh mereka pergi dulu sementara aku solat asar. Order lah dulu apa-apa yang patut. Aku taknak makan banyak sebab dah janji nak makan roti john dengan wife malam nanti. Aku pelawa Lily sekali untuk makan pizza. Rupa-rupanya, esok birthday dia. Sedang eloklah tu. Lily  memang ex-staff aku, so dia tak menolak. Campur Lily genap 8 orang untuk 2 set pizza. Wah, order bagai orang lapar rupanya. Tapi sebab asyik ketawa dan berborak baru masuk sedikit dah kenyang. Perut banyak masuk angin. Memang seronok dan dapat release tension bila dapat bersantai dengan semua orang. Sebelum balik sempat sampaikan sedikit cenderahati untuk Camilla dan Lai. Nak tau apa? Sebab CNY tinggal 3 hari lagi, kami bagi mereka angpow kali ini. Happy birtday to all.

Selesailah seharian kehidupan aku hari ini. Hal di rumah simpanlah dulu. Dah terlalu panjang catitan hari ini. Alhamdulillah Edi tiba rumah lepas maghrib dari Shah Alam. Cuma tunggu Ijat dari Ipoh yang akan pulang esok. 'Hati-hati drive esok, Ijat'. Kemudian baru fikir nak ke mana sempena CNY ni....adios.

No comments:

Post a Comment