Nampaknya disebabkan 2-3 hari ini asyik ke timur ke barat, aku tak dapat nak update blog ini sebelum tidor seperti kebiasaannya. Tapi walau terlewat harapnya aku tetap dapat catitkan sesuatu untuk setiap hari yang dilalui.
Samada penat atau memang sedap tidur di banglo Maktab Sultan Mizan ini, tidak aku pasti. Mungkin sebab dalam mood cuti CNY ni, maka badanpun bermalas-malas dan susahnya nak bangun awal pag. Suasana malam di sini pun memang tenteram. Sepanjang dua malam tiada langsung bunyi mercun kalau nak bandingkan jika berada di rumah sendiri. Agaknya tiada komuniti tionghua di kawasan berhampirannya.
Agaknya malas nak menunggu aku, biras aku yang sorang ni, Dr. Fauzi dah siang-siang lagi berangkat balik bersama keluarga dan kedua-dua mentua aku. Mereka tak habis lagi beli-belah di Pasar Payang dan cadang singgah situ lagi. Semalampun baru masuk satu kedai dah diborongnya habis-habisan. Sesekali ke Pantai Timur agaknya mesti dia dah sediakan bajet besar.
Selepas sarapan yang lewat aku sempat relax-relax dengan Abg Din. Bukan senang nak berkesempatan begini, almaklumlah sejak aku kahwin dia dan kakak ipar aku ni berjauhan meninggalkan Melaka. Kena pulak perkhidmatan asyik bersambung dan sekarang dia ambil option hingga 60 tahun. Lengah lagilah mereka balik Melaka. Apapun nanti bila balik Melaka, rumahnya yang sedang dalam pembinaan akan siap sama dalam tempoh 2 tahun ini.
Selepas ucapkan terima kasihkepada biras dan kakak ipar, jam 11.30 pagi aku bertolak meninggalkan Besut. Sebab dah ditunjukkan aku menghala ke KT llui jalan pantai. Macam-macam perancangan difikirkan dalam perjalanan balik ni. Nak singgah situ, nak singgah sini, tak sedar aku masih ada 600km di hadapan. Alhamdulillah cuaca 2-3 hari ni memang cerah dan tak adalah terganggu sangat. Nampak kedai keropok sebelum tiba KT tu aku berhentikan kereta. Walau tak pasti sedap ke tidak aku beli jugak keropok keping untuk ole-ole. Sedap atau tidak sebenarnya ikut lidah masing-masing. Kesian tengok orang berniaga.
Bila masing-masing beritahu taknak singgah mana-mana lagi aku terus sahaja driving. Nak keluat dari banda KT ternampak pula restoran nasi arab. Al FAteh kalau tak silap namanya. Ada juga rezeki aku untuk merasa nasi arab di sini. Nasi mandy yang disediakan agak lain daripada yang ada di Dima, tapi harganya agak berpatutan. Satu set untuk 4 orang campuran ayam dan kambing harganya RM 38.00. Siap dengan 4 botol Barbican, aku bayar genap RM 50.00. Licin juga kami kerjakan nasi mandy tersebut.
Depan sedikit ada masjid terapung. Tak sempat nak membeluk aku terus sahaja hingga hujung jambatan. Ada sebuah masjid putih lagi di situ iaitu Masjid Sultan Ismail.Agak cantik dan unik masjid yang lengkap dangan dewan dan tempat masak. Aku diberitahu masjid ini dulunya memang digunakan oleh Sultan Ismail dan kini telah dibaikpulih dengan mengambilkira rupabentuk dan konsep asalnya. Kami tunaikan solat Zohor dan Asar jamak di Masjid ini. Hati lebih tenang memandu bila tanggungjawab itu selesai.
Sepanjang jalan di Trengganu ini pemandangan lautnya memang cantik. Maklumlah ia menghadap lautan lepas, Laut China Selatan. Pantainya putih dan air lautnya kehijau-hijauan. Selat Melaka yang agak terkepung, sebab itulah pantai di tempat aku banyak sampah sarap mendarat bila ombak besar melanda. Sebenarnya memandang ke laut dan menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan ini memang dituntut dan diberikan pahala. Kerana di situ kita dapat lihat kebesaranNya dan merenung kembali betapa kerdilnya manusia.
Aku tinggalkan Trengganu dan memasuki Pahang pukul 5.30 petang. Tiba di kawasan Gebeng aku lencongkan kereta ke Kuantan untuk ke Tg. Lumpur. Sebab tak sure sangat jalannya, aku aktifkan GPS supaya tidak hilang arah. Nampaknya GPS aku kali ini bolehlah dijadikan panduan. Bila tiba dan survey kawasan ikan bakar Tg. Lumpur tu aku nampak Gerai Ana Ikan Bakar berasak-asak dengan pengunjungnya. Kesian pula aku tengok gerai sebelah yang kosong tanpa seorang pengunjungpun. Macamana boleh jadi gitu? Nak letak keretapun susah. Gambar PM dan MB Pahang terpampang di Tg. Lumpur. Tapak perasmian dan khemah-khemah besar rupa terowong nampaknya dah tersedia. Dua tiga hari ni rasanya PM akan merasmikan sesuatu di sini.
Sebab tak dapat parking, aku pusing semula ke jalan masuk di Tg Lumpur. Nampak macam Mail Ikan Bakar ni ok jugak. Nak masuk maghrib dan ada tempat kosong lagi di gerai itu. Aku order lah ikan jenahak, ketam, sotong dan udang. Boleh tahanlah juga rasanya masakan gerai ni. Cumanya udang yang aku pesan dia tak dihantarnya. Kalau dihantar mesti bil yang aku kena bayar lebih daripada RM 108.00. Oklah tu, jimatkan sikit belanja. Selalunya aku cerita saja kat anak-anak tentang Tg. Lumpur, sekarang aku bawa mereka ke sana. Di luar jalan besar sebenarnya lagi meriah dengan restoran ikan bakar yang tumbuh macam cendawan. Jika aku tiba awal tentu Gerai Moknah di luar tu yang jual ikan tepung mesti aku cari. Kena datang lagi ni lain kali.
Sebab maghrib nak tiba penghujungnya kami solat maghrib dulu di Masjid Tg. Lumpur. Ada kuliah agama tentang solat jamak rupanya. Satu yang aku dengar ustaz yang mengajar memberitahu apabila solat jamak, tidak ditentukan solat mana yang nak didahulukan. Jadinya jika solat jamak Maghrib dan Isyak dalam waktu isyak, maka boleh didahulukan samada Maghrib atau Isyak dulu. Dapat juga memantapkan pengetahuan tentang solat jamak yang biasa aku lakukan bila bermusafir macam sekarang ni. Aku tumpang solat berjamaah Isyak secara tamam memandangkan imam bersegera menunaikan solat Isyak tanpa solat sunat qabliyah sebaik sahaja azan isyak dilaungkan.
Jam pukul 9.00 lebih aku mulalah meredah malam. Mata yang dah uzur ni nampaknya dah agak kurang bila memandu malam. Rasanya tinted yang dipasang di windscreen juga tak elok kualitinya. Sialu nata bila terkena suluhan kenderaan bertentangan. Mahu tak mahu aku memandulah di bawah 100km/j sepanjang malam tanpa henti antara Kuantan ke Melaka. Kenderaan di sebelah tetap banyak lagi sehinggalah aku tiba di Tangka. Mungkin masing-masing dah mula pulang semula untuk kerja esok hari.
Alhamdulillah tepat pukul 1.00 pagi aku tiba di rumah. Tidak sama keseronokan berjalan jika dibantingkan bila tiba rumah sendiri. Baiti Jannati.
No comments:
Post a Comment