Hari ini adalah hari cuti umum gantian cuti Maulidurrasul yang jatuh pada hari Ahad semalam. Sebab semalam separuh hari 'bertugas' menyertai perarakan, dapatlah bersantai-santai dan merehatkan di rumah pagi ini. Sambil mendengar radio IKIM, aku menyapu sampah-sampah daun pokok yang bertebaran di halaman. Paling banyak adalah daun-daun buluh yang kering dan daun pokok hutan yang menjalar pada pergola. Aku lupa nama pokok menjalar itu. Bunganya seperti siantan dan harum. Sengaja aku biarkan pokok itu merimbun untuk teduhan dan menambahkan kehijauan suasana taman yang kecil itu. Pokok itu diberikan oleh arwah. Memandang pokok itu serta menghidu keharuman bunganya sentiasa menyegarkan ingatan kepada arwah.
Halaman yang kecil itu mencukupilah untuk aku tanam dengan beberapa jenis pokok bunga. Cuma dua jenis pokok itu saja yang kerap menggugurkan daun. Pokok lidah biawak, lidah mentua, langsuir, keladi, tetulang, puding mangkuk, mas cotek, heliconia, limau kap ya dan yang lain-lain tu yang aku lupa namanya tidak menyepahkan daun apabila kering. Habis menyapu aku mandikan semua pokok-pokok. Biasanya anak-anak atau wife cuma siram pangkal pokok, tapi aku lebih suka siramkan seluruh pokok supaya debu-debu yang melekat jatuh dan pokok jadi lebih segar. Barulah sedap mata memandang.
Selesai tugas itu aku membelek akhbar hari ini dan semalam. Macam-macam berita yang ada, tapi tak banyak yang aku ambil perhatian sangat. Ruangan kereta akhbar NST semalampun yang memang ruangan favorite, aku tatap untuk ambil semangat saja. Mungkin rencana yang ditulis tentang kenyataan CEO TNB untuk tidak menyambung kontraknya aku berikan perhatian sedikit. Ada desakan dalaman nampaknya daripada pihak kesatuan yang inginkan beliau diganti dengan muka baru dari dalam TNB. Aku tidak mahu ulas apa-apa. Sebagai pekerja, aku cuma jalankan apa-apa tugas yang diamanahkan oleh jawatan aku. Siapa yang jadi ketua aku follow. Mudah-mudahan segalanya nanti akan selesai dengan baik tanpa menjejaskan kedudukan TNB. Mamklumlah TNB memikul tugas besar sejak zaman CEB dan LLN untuk memastikan bekalan elektrik untuk keperluan negara sentiasa dalam keadaan baik.
Aku juga terbaca kisah Kodak yang dulunya merupakan peneraju fotografi telah diisytiharkan bankrap. Syarikat yang diujudkan sejak tahun 1880 telah jatuh kerana tidak lagi mampu menyaingi teknologi kamera digital kini. Penggunaan kamera dengan filem menjadi tidak relevan lagi apabila telefon-telefon bimbit juga telah menawarkan teknologi kamera digital sebagai peranti tambahan standard. Difahamkan dulu Kodak juga antara syarikat pertama memperkenalkan teknologi digital tetapi tidak mahu mengembangkannya kerana khuatir teknologi konvensyenal fotografi akan terjejas. Sekarang apa dah jadi? Peluang itu telah dieksploitasi oleh pihak lain termasuk Apple, Blackberry dan HTC. Kini syarikat-syarikat ini merupakan syarikat-syarikat yang berjaya dan tidak terkecualinya Samsung. Satu ketika dulu sekitar tahun 1996, saham Kodak pernah mencapai harga USD 96, tetapi ketika jatuh sahamnya hanyalah bernilai USD 0.36. Apakah pengajaran yang boleh didapati? Mudah sahaja. Pengalaman tidak menjamin sesuatu syarikat boleh kekal sebaliknya perlu kreatif menghasilkan produk yang boleh menarik minat pengguna dan terus bersaing. Teknologi digital memberikan segala macam kemudahan dan ia dapat menarik hati ramai orang sehinggakan fungsi kamera telah digabungkan di dalam telefon bimbit dan penggunaannya telah diperluaskan.
Untuk lunch nampaknya selera wife hari ini ke arah nasi arab. Tak apa. Bagilah dia rehat sama hari cuti ini. Pagi tadipun dia dah sediakan dua pinggan jemput-jemput geragau untuk sarapan. Selapas Zohor kami pergi ke Restoran Dima. Mana lagi tempat nak cari nasi arab di Melaka ini selain Dima. Mungkin sebab hari ini hari cuti, walau dah hampir pukul 3.00 petang, restoran ini masih dipenuhi pengunjung. Dapat juga kami menyelit di satu sudut yang kosong. Favorite aku tetap mandy kambing. Yang lain kekal dengan mandy ayam. Rupa-rupanya memang berselera makan bersama keluarga begini berbanding dengan makan bersama kawan-kawan minggu lalu. Setiap pinggan kami bersih tanpa meninggalkan sebutir nasipun. Yang tinggal cuma tulang-tulang ayam dan kambing.
Selepas berpusing-pusing dengan kereta sambil meyelesaikan urusan lain terasa pula nak pekena coconut shake di Klebang. Nak ke Jusco, si Adzrif mengadu tak sihat. Aduh mak! Coconut shake Klebang ni sekarang dah jadi satu fenomena rupanya. Bayangkanlah sepanjang jalan boleh sesak kerana ramai yang berhenti nak menikmatinya, Kebanyakannya kereta dengan nombor plat luar. Maklumlah agaknya sebab ada negeri yang bercuti lagi esok sempena Thaipusam lalu mereka ambil kesempatan datang bercuti di Melaka. Dah ada dua stall pun tetapi masih tidak dapat menampung bilangan pelangganya. Kedai di luar untuk take away orang ramai berbaris panjang menunggu giliran. Tidak kira kaum dan usia. Kami bersesak-sesak melalui lorong yang disempitkan dengan kenderaan yang diletakkan di kiri kanan ke warungnya di bahagian dalam yang terletak sebelahan rumahnya. MasyaAllah. Dalam ini juga bagai nak meletup warung itu dipenuhi orang. Sehingga di verandah rumahnya pun orang bersila. Apa rahsianya? Tidak lain sebab rasanya yang sedap dan harganya yang murah, RM 2.20 segelas. Cuaca yang panas pastinya juga menambahkan lagi keinginan orang membasahkan tekak dengan merasai coconut shake.
Tidak sanggup kami menambahkan kesesakan dan menunggu lama, kami keluar semula dari kawasan tersebut menuju ke Pulau Gadong. Supaya tidak kempunan, kami singgah minum coconut shake di stall tepi jalan situ sahaja. Walaupun coconut shake sini belum lagi terkenal, tetapi tidak mustahil suatu hari nanti ia boleh jadi tarikan alternatif jika budak-budak ini dapat mengadun ramuan yang lebih menjadikannya lazat. Pelanggan yang singgah nampaknya dah mula ramai termasuk yang berkereta mewah.
Bila dah makan agak heavy disiang hari, aku larang isteri untuk masak nasi untuk makan malam. Aku pasti si Edi dan Adzrif memang takkan makan nasi lagi bila dah kenyang. Cukuplah rebus 2-3 paket maggi untuk juadah malam ni...
Sempat aku menjenguk bulan di luar. Langit malam ditutupi awan merah. Kenapa malam ini awan berwarna merah? Di mana bulan? Aku cuma mahu melihat purnama Rabiulawal. Purnama di bulan kelahiran junjungan Besar s.a.w. Walau langit berawan, bulan sempat munculkan diri. Cukuplah walau cuma seketika. MasyaAllah. Cahayanya tetap indah berseri!
No comments:
Post a Comment