Monday, February 6, 2012

5.2.2012

Hari ini adalah 12 Rabiulawal 1433 Hijrah, iaitu tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum subuh aku telah terjaga. Selepas solat subuh yang masuk waktunya pada jam 6.06 pagi dan agak lewat sekarang ini, aku berselewat sendirian mengucapkan selamat dan salam kepada Baginda. Sesungguhnya Allah juga berselawat ke atas nabi s.a.w, apatah lagi kita yang menjadi umatnya. Moga-moga dengan sering berselawat dan mengingatinya akan mendapat syafaat di hari akhirat kelak. Apalah sangatnya kehidupan dunia yang sementara dan penuh dengan godaan dan ujian ini, jika dibandingkan dengan hari akhirat yang kekal, yang setiap amalan akan dibuat perhitungan. Jika kebaikan yang dilakukan, syurga dijanjikan sebagai balasannya. Jika sebaliknya, neraka yang maha azab bakal menanti. Nauzubillah.

Aku bersiap untuk menyertai perbarisan Maulidurrasul pagi ini. Kali ini kami dibekalkan dengan baju melayu warna turqoise yang agak lembut. Rasanya inilah baju melayu yang paling sejuk mata memandang sejak sekian kalinya aku menyertai perarakan. Cuma kain sampin yang dibekalkan agak luas lerangnya dan sesuai untuk orang yang berbadan gempal. Terpaksa meminta bantuan isteri ketika mengenakan sampin. Biasanya aku dapat lakukannya sendirian. Malas nak suruh isteri sediakan apa-apa, aku cuma mengalas perut dengan susu dan cereal. Lagipun kalau tersilap sarapan, dalam perbarisan nanti jika perut terkucil susah juga dibuatnya.

Walaupun ikut jadual kami disuruh berkumpul pukul 6.30 pagi, tapi sebab kebiasannya pukul 7.30 baru bergerak, maka pagi ini pukul 7.00 baru aku keluar rumah. Bas-bas dan kenderaan banyak di jalanraya. Kebanyakannya membawa peserta yang akan menyertai perarakan. Kali ini perhitungan aku silap. Walaupun aku tiba di ofis yang dijadikan tempat berkumpul pukul 7.20 pagi, tapi semua peserta telahpun bergerak menaiki bas menuju ke stadium kubu. Tak apalah, fikirku. Memang salah aku tidak ikut jadual. Aku terus drive ke Jalan Hang Tuah. Disebabkan banyak sangat bas menurunkan peserta, sesak jalan tersebut dibuatnya. Sebab waktu masih agak awal aku tidak risau apa-apa. Selepas meletakkan kenderaan di depan Graha Makmur aku terus saja ke dalam stadium dan join rakan-rakan yang lain.

Hampir satu jam juga menunggu barulah acara dimulakan. YAB Ketua Menteri dan Tun hadir sama. Sebagai ketua negeri aku memang kagum dengan Tun yang masih aktif dan tetap menyertai acara perarakan dengan berjalan kaki lebih 6km ini bersama peserta lain. Program pagi ini ada kelainan sedikit. Kebiasaannya ada diselitkan bacaan ayat al Quran, tetapi kali ini digantikan dengan persembahan oleh seorang anak gadis yang masih kecil yang sangat petah. Memang aku pernah mendengar Sti Nur Aliyah ini dulu berpidato semasa perhimpunan Bulanan Kerajaan diadakan di Seri Negeri beberapa bulan lalu. Yang aku tahu dia asalnya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Serkam. Itu sekolah rendah aku dulu. Tentunya gadis kecil ini membanggakan aku sebagai murid tua sekolah itu.  Dia mempunyai daya ingatan yang kuat dan bakat pidato dan persembahan yang hebat. Bukan sahaja dia mampu berpidato dengan lancar dan fasih tetapi dia juga mampu membaca nazam, membaca hadis dan menterjemahkannya, bersketsa dan bernasyid. Semuanya itu dibuat tanpa teragak-agak seolah-olah skripnya terpampang di depan mata. MasyaAllah, anak ini memang mempunyai daya ingatan yang sangat tinggi. Tidak hairanlah beberapa potong hadis dihafal dan dibacakannya bagai air mengalir. Jika dalam ucapan orang lain tidak menyentuhpun bakat yang ada pada anak kecil ini, tetapi Tun dalam ucapannya mengagumi budak genius ini. Malahan beliau telah meminta dia diberikan perhatian dan dibantu oleh kerajaan negeri keperluannya untuk terus maju.Tun mahu bakat anak ini dieksploitasi untuk dijadikan contoh yang baik dan tidak dibiarkan menjadi sia-sia apabila dia meningkat dewasa sepertimana yang dikhabarkan berlaku pada pelajar pintar SPM dulu yang gelagatnya sekarang kurang disenangi untuk dijadikan idola oleh remaja.

Berarak sejauh kira-kira 6km dari Stadium Kubu sehingga ke Masjid Negeri dengan membaca selawat ke atas Nabi s.a.w sebetulnya hanya satu pengorbanan yang kecil. Sesungguhnya pengorbana Nabi s.a.w dan para sahabat dalam menegakkan agama suci ini amat besar sehingga ada yang diseksa. Amalahan ada yang mati kerana seksaan serta yang sanggup mati syahid dalam peperangan. Bagi kita yang takut mati kerana agama, adakah sanggup hidup sambil mempertahankan Islam?

Acara perarakan ini hanya sekadar ingin mempamerkan kesepaduan umat Islam serta memberi kesedaran untuk mengagungkan utusan Allah yang tidak diutuskanNYa melainkan untuk memberi rahmat seisi alam. Sepanjang jalan nampaknya ramai orang yang menyaksikan kami. Aku perhatikan pada kali ini semakin banyak pihak yang menghulurkan goodies berupa air dan makan ringan kepada peserta perarakan. Ini menunjukkan sifat-sifat terpuji yang dituntut oleh agama telah dapat dihayati. Ada juga yang tidak dapat berarak tetapi turut sama berkumpul di tepi jalan dalam kumpulannya sambil berselawat. Sesungguhnya memuliakan Rasulullah s.a.w menjadi tuntutan kerana Baginda s.a.w ketika hendak menghembuskan nafas terakhir masih menyebut tentang umatnya: Ummati! ummati! ummati!.

Sebelah malam aku menonton TV9 program Muhammad The Idol. Elok sangat rancangan ini di tayangkan sempena hari maulid ini. Sekali ini baru aku berpeluang mendengar  dan menonton Iman Suhaib Webb seorang muslim Amerika menyampaikan ceramahnya berkaitan Rasulullah s.a.w. Subhanallah. Kaum yang keras seperti ini Allah lembut hatinya dan diberikan hidayah. Penyampaian ceramahnya membuatkan aku terbuka minda. Antara kata-katanya, 'bagaimana tafsiran al Quran yang terbaik?', apabila dia di tanya oleh orang-orang Amerika. Katanya, 'tafsiran terbaik adalah pada akhlak penganut agama islam itu sendiri yang telah diterjemahkan hasil penghayatan dan amalan sepertimana terkandung dalam al Quran'. Beliau juga menyentuh tentang betapa kasihnya Nabi s.a.w, malahan ketika bertemu Allah di malam israk dan mikraj, apabila Allah memberikan salam kepadaNya,  dan beliau membalas salam tersebut dengan mengucapkan kesejahteraan ke atas sekalian umatnya.

Mudah-mudahan aku dapat terus bermuhasabah diri dan meruntuhkan rasa riak, takbur, bongkak dan segala sifat-sifat mazmumah dan menggantikannya denga sifat merendah diri, berlapang dada, sentiasa bersyukur dan segala sifat mahmudah lainnya. Sesungguhnya untuk keperluan kehidupan di dunia cukuplah dengan sekadar berjalan, tetapi keperluan hidup untuk akhirat nanti perlulah dikejarkan dan berlari demi merebut kebaikan sebanyak yang mungkin. Akhirat jualah yang kekal selamanya.

No comments:

Post a Comment