Sunday, February 5, 2012

4.2.2012

Dah dua minggu rupanya tak beriadah pagi. Alhamdulillah cuaca yang cantik pagi ini dapat juga aku dan wife ke taman permainaan tempat biasa kami exercise. Macam selalu dapatlah kami berjalan tiga empat kali pusingan untuk mengeluarkan peluh. Untuk pusingan terakhir kami jalan-jalan santai melihat-lihat suasana rumah-rumah di kawasan itu yang cantik-cantik belaka. Besar modal orang nak mencantikkan rumah ni. Antara mereka mungkin memang orang yang berada. Tapi mungkin juga ada yang mengikat perut atau berhutang keliling pinggang untuk mencantikkan rumah. Dulu ada seorang seorang cikgu yang khabarnya mengikat perut dengan makan kangkung hari-hari sebab memenuhi hajat memiliki banglo 2 tingkat. Walau apapun, bila melihat berbagai cara orang mengubahsuai dan menghias rumah, itu menandakan kreativiti manusia ini tidak terbatas. Itulah anugerah Allah.

Satu yang aku pelik bila berada di taman perumahan yang kebanyakannya didiami kaum tionghua ini adalah pemiliknya suka sangat memelihara anjing. Memang rasa terganggu bila setiap rumah yang dilalui anjingnya akan menyalak. Ada sesetengahnya  yang besar-besar dan mengacah-acah untuk menerkam. Ada juga aku lihat anak anjing yang kakinya baru besar kelingking, tapi dah pandai menyala-nyalak. Kalau dia keluar pagar mahu saja aku patah-patahkan kakinya. Kecik-kecik lagi dia dah tunjuk act! Pada pandangan aku daripada bela anjing untuk jaga rumah elok sajalah digajikan security. Lagipun buat apa setiap orang perlu bela anjing. Cukuplah satu dua ekor sahaja untuk setiap lorong. Lagipun 'kan tiap rumah dah dipasang dengan alarm system. Kalau anjing-anjing tu untuk dijadikan pet tak kisahlah jugak. Tapi jika anjing-anjing tu dah sebesar orang dan garang-garang macam nak makan orang tu, apa tujuannya dibela? Banyak sangat ke hartanya yang nak dijaga. Sebalik fikir macam negara ini banyak penjenayah dan pihak keselamatan dah tak terkawal. Atau mungkin ada antara mereka tu sendiri jadi penjenayah dan tidak mahu aktiviti diganggu.

Baru pagi ini aku tahu rupa-rupanya kad Mesra Petronas yang aku dah pakai bertahun-tahun tu point yang terkumpul akan hilang selepas enam bulan. Aku ingat boleh kumpul sampai bila-bila. Beratus ringgit yang aku belanja setiap bulan selama ini untuk tuang minyak pointnya hangus begitu saja kerana telah luput tempoh. Bila aku check dengan budak juruwang, rupanya kad aku masih bernilai RM 40 lebih. Apa lagi bila aku berikan kepada wife, dia joli sakan untuk beli coklat. Macam-macam coklat dibelinya. Hai pelik betul wife aku ni. Belilah barang makanan lain yang penuh dalam kedai serbaneka tu. Sambil tu aku check juga gift card Petronas yang aku simpan sejak hampir dua tahun lalu. Rupanya kad mereka beri semasa hadir dinner dulu bernilai RM 100. Rezeki akulah tu. Sana hilang sini masuk. Nampaknya tengah sibuk-sibuk musin orang terima bantuan BR1M yang kerajaan bagi baru-baru ini pada orang miskin, untuk aku ada jugak rezeki lain. Memang kena percaya dan yakin rezeki Allah boleh datang pada bila-bila dan dan dari arah mana sekalipun. Patut juga aku cadangkan kalau kerajaan nak berikan apa-apa bantuan kepada rakyat gunakan saja cara ini. Masukkan duit dalam ic dan kalau nak belanjakan cuma perlu swipe saja ic masing-masing.. Pagi ini aku swipe card itu dan tuang minyak kereta wife RM 50.

Pagi ini juga aku tunjuk rajin sikit kat wife. Terlanjur gosok baju dan seluar untuk lunch Mubarak di Tiara tengahari nanti, habis aku seterika baju-baju untuk dipakai minggu depan. Ringanlah sikit tugas wife aku yang tengah memasak tu. Memang aku biasa gosok baju sendiri, cuma bila dia dah tak kerja lagi ni aku suruhlah dia penuhkan masanya yang terluang buat kerja tu. Memangpun tugas-tugas itu semua tidak termaktub dalam tanggungjawab seorang isteri. Sepatutnya kena cari amah. Tapi sebalik fikir kalau ada amah, tak ada privacy kat rumah sendiri nanti. Itulah sebabnya sejak anak kecil hinggalah wife bersara ni semuanya kami uruskan sendiri. Lagipun bukan banyak sangat kerja kat rumah sekarang ini. Semuanya boleh handle sendiri antara hendak dengan tidak saja. Kecualilah kalau lepas ni wife aku nak berangan jadi mem pula...

Mematuhi arahan boss, aku wakilkan juga dia ke lunch Mubarak yang dihadiri oleh TYT di Tiara Golf Resort. Tapi lain kali kalau si Ismail ni dah ada, tak perlulah aku datang sebab dia akan cover semua. Tiara ni tempatnya tak jauh dari rumah aku. Mubarak ni kira persatuan wakil rakyat yang dah pencen. Mereka anjurkan golf amal untuk kumpul dana membantu bekas-bekas wakil rakyat yang bermasalah seperti sakit. Mereka juga mengambil beberapa orang anak angkat yang cemerlang dalam pelajaran. Mungkin sesetengah kita ingat bila jadi YB semua wakil rakyat ini akan hidup kaya raya. Mereka juga manusia biasa macam kita yang ada keluarga dan perlu makan minum. Bila dah pencen macam-macam masalah dihadapi kecualilah bagi yang ada bisnes atau mempunyai pendapatan lain. Majlis tu dihadiri oleh golfer kebanyakannya. Dapat juga jumpa kawan lama masa sekolah yang juga kaki golf. Aku memang tak minat dengan golf ni. Pernah dulu awal 90an aku cuba berjinak-jinak tapi aku rasa macam membuang masa saja. Tambahan bila ada sakit belakang sekarang ni, kerja-kerja berat macam ni memang kena elakkan.

Kalau ikutkan perancangan nak jalan-jalan window shopping dengan wife petangnya. Cuaca pulak mendung dan hujan renyai-renyai. Berehat sajalah kat rumah. Terasa pulak dah lama tak jenguk muka ke surau. Aku siapkan diri. Ada jemaah tabligh di surau. Selepas solat aku joinlah jemaah yang tak sampai 2 saf tu mendengar sedikit tazkirah. Sayangnya tiada seorangpun jemaah yang mendengar tu orang taman aku ni. Agaknya mereka fobia dengan kumpulan tabligh. Bagus juga dengarkan pesanan mereka ini. Kumpulan tabligh memang akan peruntukkan masa mereka sekurang-kurangnya 3 hari dalam sebulan untuk berdakwah ke merata tempat dan dalam setahun dapatlah mereka cukupkan tempoh 40 hari yang dituntut sepertimana fahaman dan amalan mereka.Sempat juga berkenalan dengan Izzudin yang datang dari Kuantan. Begitulah komitmen yang ditujukkan oleh ahli kumpulan ini yang sanggup datang dari jauh. Aku sebenarnya tak ikuti mana-mana jamaah pun. Aku lebih suka mendapatkan ilmu dan peringatan-peringatan baik yang disampaikan oleh mana-mana ustaz atau orang alim. Apapun bila mendengar tazkirah begini akan memberikan aku satu motivasi dalam menjalani kehidupan supaya tidak menyimpang dari landasan yang ditetapkan. Untuk join satu-satu jamaah atau kumpulan ini aku khuatir aku tidak akan kekal lama.

Esok adalah hari maulidurrasul, hari ulangtahun kelahiran Junjungan Besar Nabi. Aku sedih juga kerana surau aku ini tidak menganjurkan sebarang program malam ini. Di masjid negeri diadakan bacaan Yaasin dan tahlil. Memang tidak dituntut lakukan itu. Tapi ianya tentu lebih baik daripada tidak buat apa-apa sebagai menghormati hari kelahiran rasul yang mulia ini. Semua orang lebih selesa dengan aktiviti lain di malam hari kelahiran Rasulullah agaknya. Hal-hal keduniaan sememangnya melalaikan manusia dalam kehidupan yang sementara ini.

Allahuma solli wa sollim wabarik 'alaihi.

Salam maulidurrasul.

No comments:

Post a Comment