Saturday, May 15, 2010

Lelaki Bertupang Itu...

Sesekali dapat bersama isteri meneguk secawan kopi lepas penat bekerja seharian seronok juga rasanya. Nama saja satu ofis tapi kami hanya bersama semasa pergi dan balik kerja sahaja. Memang boleh jika mahu makan bersama ketika di ofis tapi rasanya elok juga hubungan rumahtangga tak di bawa bersama ke tempat kerja. Hari sebenarnya menghampiri senja, tapi jika pulang teruspun tak mungkin sempat menyedia juadah malam sedang si bujang di rumah tentu tak sabar nak makan. Jika lewat pasti mee segera jadi mangsanya. Aku hanya makan sekeping tose dan isteri sekeping capati. Memang simple sahaja namun itu sudah memadai untuk makan malam kami. Nasi goreng ayam ku pesan untuk Ayep. Dia tidak banyak soal dalam hal makan cuma kali ini aku hanya bungkuskan satu sahaja untuknya. Entah kenapa tiba-tiba aku semacam kedekut pula. Makan dua sebenarnya memang kelazimannya.... Aku terhenti makan bila tiba-tiba terpandang seorang lelaki bertupang kaki empat menongkat basikalnya. Dengan susahpayah dia menuju kepada si India pembantu restoran sambil berkata sesuatu. Mungkin dia meminta sedikit makanan, fikirku. Terdetik hati jika dia mahu makan aku akan belanjanya apa saja. Simpati benar aku melihatnya. Sangkaan ku meleset. Dia bukan peminta sedekah. Dia tidak pergi dari satu meja ke satu meja menadah tangan. Dia menghala ke tong sampah di belakang restoran dan menyelongkar cermat mencari sesuatu. Sah. Dia hanya mahu mencari botol dan tin terbuang. Dipungutnya satu persatu dan dimasukkan ke dalam uncang yang dibawanya. Selesai mendapat apa yang dicari, ditutupnya kembali tong sampah dan tangan dicuci di sinki tepi restoran itu. Dalam pergerakannya yang terbatas dia melambai kepada si India tanda ucapan terima kasih. Wajahnya puas walau hanya menemui beberapa biji botol dan tin kosong sahaja. Dalam kepayahan juga dia kembali semula ke basikalnya. Sekali tupang di anjak sekali itu dia menyorongkan badannya ke depan. Beratnya mataku memandang. Dia terus bergerak penuh berhati-hati dan tabah. Kenapa dia tidak tinggal sahaja di rumah? Di mana anak-anaknya? Di mana keluarganya? Tiada bantuankah yang diterima daripada yang berwajib? Fikiranku berputar dengan pelbagai soalan, tapi jawapan sebenar ada padanya. Sambil memikul tupangnya dia mengayuh perlahan-lahan basikalnya melawan arus deretan kereta. Tentulah untuk terus menyelongkar tong sampah demi tong sampah bagi mengisi uncangnya yang masih belum penuh lagi. Ah, berapa sangatlah boleh diperolehi daripada botol dan tin kosong itu! Senja makin berlabuh. Dia hilang dari pandanganku tetapi di fikiranku timbul keinsafan. Betapa bertuahnya aku dan isteri. Sihat tubuh badan, bergaji lumayan dan apa yang mahu dimiliki. Namun kerap juga keluhan keluar dari mulut kami...

No comments:

Post a Comment