Friday, October 8, 2010

Kisah Kakak Tua

Petang tadi di Hotel Bayview, ada majlis meraikan persaraan THj Rosman, mantan Ketua Jurutera kami. Bersara atas pilihan sendiri, memang satu keputusan yang sukar bagi orang biasa macam aku, tetapi beliau ada sebab-sebab tertentu. Yang paling menyentuhkan hati antara sebabnya adalah untuk menjaga ibunya yang telah uzur dan ingin bergiat aktif dalam dunia dakwahnya. Tentulah beliau ini insan pilihan Allah, yang sanggup bermujahadah ke tahap itu dengan meninggal pangkat dan gaji lumayan, sementelahan jawatan No. 2 yang beliau lepaskan memang menjadi idaman ramai orang.
Hari ini aku melihat beliau menangis ketika menyampaikan ucapan perpisahannya. Ramai yang terkesan dan turut mengalirkan air mata. Mataku juga turut bergenang.
Paling terkesan mendengar kisah burung kakak tua yang beliau ceritakan. Memang dah beberapa kali aku dengar kisah ini tetapi kali ini sengaja aku catitkan dalam blog sebagai kenangan terakhir bersamanya.
Kisahnya mengenai seorang insan yang masuk ke kedai burung dan tertarik dengan kecantikan seekor burung kakak tua. Warnanya cantik; merah, biru dan kuning. Ekornya panjang melentik. Selain pandai berkata-kata burung itu pandai menyanyi. Lagu 60an pulak tu! Si insan tadi berhajat memilikinya lalu ditanya berapakah harganya. Si penjual menjawab harganya RM 3,000 setelah diskaun. Terperanjat juga dia bila mendengar jumlah itu kerana dia tak terfikir untuk mengeluarkan belanja sebanyak itu.
Dihampirinya pula ke sangkar seekor lagi burung kakak tua. Yang ini pula bulunya ada lima warna dan begitu cantik sekali. Burung yang ini bukan saja dapat menyanyi lagu 60an, malahan lagu Siti pun dapat dinyanyikannnya. 'Yang ini berapa pula harganya?' 'RM 6,000'. Tentulah di luar kemampuan si insan tadi.
Memandangkan dia berhasrat untuk membeli burung kakak tua, ditinjaunya lagi burung-burung di kedai itu. Lalu dia ternampak seekor burung kakak tua yang telah tua dan tidak bermaya di sudut kedai. Bulunya juga telah lusuh dan hampir togel. Kakak tua ini juga dah tak boleh menyanyi lagi. 'Ah! dapat yang inipun jadilah,' fikirnya.
'Berapa harga ini burung, taukeh?' Dia bertanya.
'Haiya, ini bulung tatak jual. '
'Apsal tak mau jual? 'kan ini burung sudah macam mau mati saja? Kasi jual sama saya. Biar saya bela.'
'Ini bulung halga tatak nilai, manyak mahal lo... '
'Apa pasal mahal?'
'Sebab itu dua-dua bulung kakak tua tadi panggil dia BOSS!'
Apa maksud cerita ini sama-samalah fikir dan tafsirkan sendiri. Tapi itulah antara yang sempat THj Rosman tinggalkan kepada kami petang tadi.
Doaku untuknya, moga perjalanan hidup beliau terus diberkati Allah dan perjuangan sucinya mendapat keredhaaNya. Dan kami yang tinggal ini kelak dapat mengikuti langkahnya menuju jalan yang lurus! Amin.

No comments:

Post a Comment