Wednesday, January 11, 2012

11.1.2012

Pagi ni di rumah muram. Wife sediakan secawan milo dan roti bawah tudung saji. Akupun mood belum stabil lagi dan malas nak cakap banyak. Selepas salam dan cium tangan wife terus aku bergegas pergi kerja. Tengah driving GM hantar sms tanya pasal kerja. Takpe sampai ofis nanti jawablah. Agak terlewat sikit ni dan terus tumpu dengan pemanduan. Sampai ofis tempat parking ada pula orang yang masuk. Mesti dia agak aku ke JB pagi ni dan tak datang ofis. Meeting di JB petang, masih banyak masa lagi untuk buat kerja-kerja lain di ofis pagi ni.

Tiba ofis terus bincang dengan Camilla tentang kerja-kerja yang masih pending dan minta dia aturkan jadualnya. Camilla memang tak banyak soal dan cekap jalankan kerja. Di antara non-execs dia  sentiasa mengekalkan prestasi kerja terbaik dan baru tahun lepas dapat promotion dan kekal bawah unit aku. Ada Camilla ni aku lebih confident untuk buat sesuatu commitment kerja especially yang melibatkan aktiviti-aktiviti yang memerlukan penyertaan staff lain.

Pagi ni ada taklimat oleh JJH. Nazili dah call menanyakan arah untuk ke ofis aku. Rupanya dalam ramai-ramai rakyat Malaysia ni, Nazili tak pernah tiba Melaka lagi. Aku sendiri dah berbelas kali rasanya pergi negeri dia Kelantan. Koman betullah mamat ni. Tak apa lah Nazili, lepas ni bawaklah famili melancong ke Melaka ni.  Melawat Melaka bererti Melawat Malaysia.

Mungkin mood masih off lagi, minum pagi yang disediakan sebelum taklimat rasa macam tak rasa apa. Ada staff yang biasa bergurau, pagi ni nampak berhati-hati bila aku bagitau mood hari ni tak berapa baik. Saja aku bagitau supaya mereka boleh standby. Tak pasal-pasal kalau tersilap cakap nanti aku sembur mereka.

Nampaknya taklimat berjalan lancar dan kehadiran yang membanggakan. Kesimpulan dari taklimat ini syarikat perlu kena mengutamakan pengguna walaupun sebenarnya kategori yang dibincangkan adalah 'pencuri api'. Hampir 11.30 pagi aku tinggalkan taklimat untuk ke JB. Meeting di JB jadualnya pukul 2.30 petang. Ikut timing memang tempoh 3 jam perjalanan tu mencukupi.

Alhamdulillah cuaca cerah dan lebuhraya antara Ayer Keroh ke Skudai juga tidak sesak. Tangki minyak Perdana yang tinggal separuh mencukupi untuk jarak 213km yang aku tempuhi. Nampaknya driving dengan Perdana ni tidak mengecewakan. Aku maintain speed 120-130 km/j dan rasanya tiada satu speed trap yang ada. JB baru hujan rupanya. Jalan basah. Laluan dari Skudai ke Kempas dan terus ke Jalan Yahya Awal juga lancar. Tanpa henti, jam 2.00 petang dah sampai. Untuk alas perut semasa driving tadi aku kunyah cream-cracker Munchy's yang nipis tu dengan dua tiga teguk air mineral baki taklimat yang aku bawa sekali.

Nampaknya aku tiba sama masa dengan Lawyer Halim yang akan handle court case ni. Dah kerap betul aku jumpa dia. Yalah sejak terlibat dengan berpuluh-puluh court case. Dia ni alim rasanya sebab percakapannya lembut dan dahinya berbekas hitam tanda orang kuat sujud.

Sementara tunggu 2.30 meeting, aku solat dulu di tingkat 6. Solat jamak taqdim siap qasar Zohor dengan Asar. Senang selesaikan dulu. Balik nanti tak kelam-kabut. Kata ustaz solat jamak ini sedekah yang Allah berikan. Sebab itu bila travel melebihi 91 km aku mengamalkannya. Solat 4 rakaat tinggal dua rakaat dan boleh satukan dua waktu, takkan tak nak. Dan pahala bertambah pulak tu.

Dalam meeting jumpalah anak-anak buah lama aku di tahun 2004-2006 dulu, Saharudin, Suhaimi dan Fauzi. Diam tak diam dah lebih 5 tahun aku tinggalkan mereka. Maknanya dah 5 tahun juga aku dengan jawatan sekarang. Patutlah aku dah rasa macam dah hilang modal. Meeting petang ni tak lama dan selesai jam 4.00 petang. Aku minta sekalikan meeting dengan satu lagi kes yang patut dibincang hari jumaat nanti. Nasib baik lawyer yang sama. Tujuan hadiri meetingpun untuk confirmkan kes apa yang terlibat dan prepare apa yang patut. Kalau bicarapun dah dapat agak apa solan yang defendan nak tanya. Cuma takut kalau tak tengok, adakalanya diorang sediakan witness statement yang standard sahaja walaupun jenis kes berlainan. Kalau tak berhati-hati dan silap masa bicara nanti, tak pasal-pasal mahkamah tuduh aku menipu pulak.

Habis meeting, aku ajak Saharudin belanja aku makan sebab tadi tak lunch. Wah pomen ni dah pakai Honda Accord baru rupanya. Rezeki masing-masing. No komen. Dia bawa aku ke Sedap Corner yang terletak di belakang hotel misteri tu. Taubat aku nak tinggal lagi kat hotel tu, kecuali menginap ramai-ramai sebilik. Rasanya aku pernah datang ke Sedap Corner lama dulu. Pukul 4.00 lebihpun ramai orang datang makan. Hebat perut orang JB. Tukang masak sinipun nampaknya pakai pakaian chef. Kelas. Aku order beef kueteow dan chinese tea. Boleh tahanlah rasanya. Kenyang.

On the way balik, jalan mula sesak sebab orang baru keluar ofis. Mat-mat motor tunggang motor ikut suka aje. Apa nak kejar agaknya, dah tentu nak balik rumah. Takkan balik rumahpun nak kena punch card. Sampai Skudai jalan dah ok. Memang selesa perjalan hari ini. Semuanya Allah permudahkan.

Sebelum maghrib aku dah tiba rumah. Si anak dengan bertowel bukakan pintu. Aku tak tegur cuma beri salam dalam hati. Saja aku tunjuk muka serius sebab masih dalam tempoh hukuman atas kesalahannya semalan. Wife pun tak bertegur sapa. Malas aku nak pening-pening. Selepas mandi aku solat maghrib dan sambung solat Isyak dengan satu wudhu'. Selepas makan malam yang wife letakkan atas meja aku capai laptop dan mula melakukan rutin sejak 10 hari lalu.

Moga hari esok akan lebih ceria lagi.

No comments:

Post a Comment