Tuesday, January 17, 2012

17.1.2012

Dalam tahun baru 2012 yang baru masuk 17 hari ini, rasanya pagi ni badan rasa paling malas bila bangkit dari tidur. Mungkin badan penat sebab semalam memandu pergi dan balik JB. Terlupa pulak usia makin tua. Hari ni nak pergi lagi. Memikirkan nak memandu lebih 200km dan berada dalam kandang saksi pula, bertambahlah lemah rasa badan. Serba-serbi aku buat pagi ni secara slow motion. Nak pergi tak pergi, nak pergi tak pergi. Itu yang bermain di kepala aku. Susah untuk orang yang taat kerja untuk kata tidak. Kes mula 10.30 pagi, jadi aku fikir ada masa lagi untuk aku bermalas-malas di rumah. Yang agak menaikkan semangat pagi ni mungkin bila check online sang harimau dah mengaum. Segera aku pindahkan peruntukan isteri dan anak-anak. Kalau tidak tak makan mereka nanti dek sifat murah hati dan keborosan aku. Beres satu tanggungjawab kepada keluarga.

Pagi ni untuk breakfast, wife sediakan lempeng saja. Kalau nak nampak kelas sebut pancake. Sebab lempengpun comel-comel aku makan tiga keping untuk alas perut. Aku tak jangka akan berhenti mana-mana kerana aku cuma ada masa tiga jam saja untuk tiba ke mahkamah yang dekat dengan Stulang, JB. Kalau aku dimaklumkan awal, tentu semalam aku tak susah-susah nak balik. Semalam datang sehelai sepinggang, macamana nak stay JB. Kalau stay sana kena beli baju baru, seluar baru, seluar kecik, singlet, berus gigi, ubat gigi, krim rambut, deodoran dan lain-lain lagi termasuk baju tidor, kain dan segala bendalah. Dah malas nak beli pakaian baru sebab baru saja beli tiga seluar dan lima helai baju. Itu tak termasuk yang baru tempah Jumaat lepas lagi 2 pasang baju dan seluar. Malas juga nak bersoal-jawab dengan wife kalau outstation mengejut saja gitu. Itu yang utamanya.

Sebelum gerak ke JB aku minta wife hulurkan minyak angin. Kepala rasa pening sikit. Aku minta dipermudahkan kerja aku hari ni. Kalau aku cuai kerja siapalah nak tanggung makan anak isteri aku yang bergantung harap sepenuhnya dengan aku. Memang rezeki di tangan Allah tapi ikhtiarnya ada pada aku.

Aku redahlah jalan dari rumah terus ke tol Ayer Keroh dengan berhati-hati. Maklumlah jalan hingga ke simpang MITC tu memang memanjang sesaknya kalau sebelum pukul 8.00. Di lebuhraya, kenderaan tak banyak nampaknya. Kereta-kereta mewah yang plat KL dan Singapore nampaknya meluncur laju. Malas aku nak ikut macam mereka. Tak pasal-pasal nanti kena saman ekor. Lebih-lebihpun aku drive 130 km/j. Tapi nasib gak tu sebab itupun dah lebihi had kelajuan lebuhraya. Yang laju tu rasanya mahu lebih 170km/jam. Betul agakan aku, tiba di Sedenak ada rupanya polis menembak dengan kamera speed trap. Pandai pulak dia pakai baju gelap bersandar pada tiang flyover. Silap-silap tak perasan dibuatnya.

Ngam-ngam aku tiba mahkamah pukul 10.20. Lawyer Rahim dah mula risau dan hantar sms tanya jika aku dah sampai. Hakim rehat lagi rupanya. Sempat aku betulkan kenyataan saksi yang lawyer dah prepare. Empat soalan dan jawapan aku minta buangkan sebab tak berkaitan. Sebab dah kerap sangat handle kes, habis semua benda dia standard kan. Kalau tak perasan kesilapan, payah nak menjawab nanti kalau disoal lawyer defendan.

Pukul 11.30 tiba giliran aku dipanggil masuk. Tersentak aku yang tengah terlelap di kerusi luar. Aku serahkan ic pada kerani mahkamah dan terus angkat sumpah. Angkat sumpah bermaksud hanya memberikan maklumat yang benar sahaja dalam mahkamah. Tiada yang tidak benar melainkan benar belaka. Dah angkat sumpah, sanggupkah nak menipu?

Alamak lawyer defendan ni memang yang terkenal dan biasa handle kes-kes lawan TNB. Silap-silap jawab boleh nahas. Macam-macam dia tanya aku bila giliran dia menyoal-balas. Sebab dah dua kali aku experience dengan dia, aku berikan jawapan-jawapan yang tegas dan straight to the point. Dia cuba kaitkan dengan isu-isu lain tapi aku fokus kepada kes yang sedang dibicara sahaja. Bila dah lebih 45 minit aku mula naik fed-up. Soalan pulak berulang-ulang. Akhirnya dia tersilap langkah kerana tanya aku kenapa tidak tuntut berdasarkan penggunaan selepas pembaikan. Nasib baik aku dah buat homework dulu. 'Kalau guna average selepas meter diganti, dia kena bayar lebih lagi. Sudah minta bayar kurang tak mau ker?' aku menempelak. Terus malas dia nak menyoal lagi. Lega aku bila lawyer defendan berhenti menyoal. Bukan senang nak dapat soalan terbuka gitu. Inilah peluang berikan jawapan membunuh. Biasanya kena jawab ya tidak, ya tidak atau setuju tidak setuju tidak sahaja!

Dah selesai bicara, aku ajak Hanafi yang baru pertama kali jadi saksi pergi lunch di tingkat 5. Dulu dia ni staff aku. Tak apa sesekali aku belanja kat cafe ni. Bukannya hotel 5 star, cuma cafe tingkat 5 aja. Bila aku hulur note 50 untuk bayar, cashier tanya, 'ada 20 sen tak?'. Mana nak cekau. Biasanya bila balik rumah duit syiling semua masuk tabung untuk beli paper. Hanafi pun tak ada syiling. Tiba-tiba kakak sebelah tu pulak tolong tokokkan 20 sen. Tergamam aku. 'Ok kak, nanti saya sedekahkan balik duit kakak tu kat sapa-sapa', spontan aku cadangkan. Si cashier ni pun sedekah jariahlah sikit. Kalau nak kirakan mana boleh betul-betul dia tahu harga sebenar RM 10.20. Bukan ada timbang sukat, main tengok-tengok saja banyak sikit. Alahai...

Hari masih awal lagi. Cadangnya nak singgah JPO, tempat yang jual barang-barang branded kat Senai tu. Bila tiba susur keluarnya stereng kereta tak boleh ke kiri pulak. 'Alah buat menghabiskan masa dan duit saja nanti. Balik ofis siapkan kerja lagi baik', fikiran aku berkata. Betul juga tu, sebab esok dan lusa ada lagi bengkel kerja di PD. Afni minta aku tandatangan cas sambungan. Nor pulak minta approve work order. Memang kena masuk ofis kalau gini. Kalau lama tak masuk ofis ada pulak nanti boss melenting.

Cuaca bukan main panas lagi. Nasib baik aku makan sikit saja tadi. Kalau tidak mau mengantuk. Aku singgah di R&R Pagoh sebab belum solat lagi. Bolehlah aku solat jamak di sini. Masa singgah di tandas teringat pulak aku pesanan Dr. Muhayah, 'jangan kedekut sangat nak hulurkan seringgit dua pada ornag yang cuci tandas contohnya'. Keluar tandas aku hulurka dua ringgit kepada pekerja yang tadi aku nampak sedang mop lantai masa aku masuk. 'Nah, ambil buat minum air', aku katakan pada pekerja yang berkupiah rupanya. Langsung aku niatkan balas budi  kakak baik hati (ye ke kakak?) yang bayarkan aku 20 sen di cafe tadi.

Sedekah gini biasa di buat bila orang berada di Mekah dan Madinah. Cuma bila di sana aku nampak pekerja-pekerja cuci di sana macam ternanti-nanti orang nak sedekah sebab dah lazim sangat. Apapun pernah aku nampak collection sedekah tu mereka kumpulkan dan diagihkan sesama mereka.

Tekak terasa haus dan aku tinjau apa makanan ringan yang boleh buka selera aku pukul 3.30 petang ni. Nampak mee rebus Wakomo di gerai paling hujung. Tengok gambar pada bannernya memang mengancam. Lima periuk besar untuk kuah mee rebus, sup, laksa dan entah apa lagi semuanya beratur cantik atas dapur letriknya. Aku order mee rebus. Semangkuk RM 4.90. Aku nak bagi cadangan, kalau boleh taruhlah daging hiris ker apa sebagai penyedap selain telur rebus separuh tu. Bab ni memang tak boleh lawan mee bodoh Tengkera. Walau tak ada apa-apa perencah tapi tetap sedap.

Pukul 5.00 petang aku tiba juga ke ofis. Walau badan rasa penat dan naik melekit aku siapkan juga kerja-kerja yang ada atas meja. Lai pula dah belikan aku 2 kotak teh cina. Teringat minum teh cina di restoran Sedap Selalu minggu lepas. Teringin nak buat sendiri. Itu yang minta tolong Lai carikan. 2 kotak RM 26 saja.

Gitu gini nak dekat maghrib jugak abru gerak untuk balik ke rumah. Call wife tanya masak apa hari ni. 'Pucuk ubi masak lemak', jawabnya di hujung talian Tak beli apa-apa kat pasar malam nampaknya wife aku hari ni. Tak kisahlah, aku orang kampung. Apa-apa pucukpun aku belasah saja janji sedap.

Tiba rumah anak bujang bagi laporan kerja amal yang dia dah buat di rumah tanpa aku tanya. 'Dah cuci tandas, bersih bilik Ijat, vakum bilik papa yang berhabuk, bla bla bla...'. Dah tau aku, maknanya duit sekeping banjau yang aku beri pagi tadi untuk upah polish kereta Swift semalam memang tak akan balik ke akulah lebihannya...

No comments:

Post a Comment