Monday, January 23, 2012

22.1.2012

Lebih 600km memandu hari ini dari Melaka ke Besut dengan Perdana setia. Orang lain mungkin ambil masa lebih-lebih 7-8 jam. Tapi aku ambil masa lebih 12 jam...hu hu. Tak kisahlah asal kami lima beranak selamat tiba. Bertolak hampir pukul 12 tengahari, tiba melewati pukul 12 tengah malam. Ada apa di Besut? Saja memenuhi aktiviti keluarga wife, iaitu mentua dan ipar duai.

Cadangnya bertolak pagi-pagi, tapi nampaknya anak bujangpun bersiap macam anak dara jugak. Alang-alang dah lewat, aku settle urusan Galaxy Tab yang lama tertangguh. Akhirnya entry blog aku kali ini dapatlah guna Tab baru. Sebab masih baru lagi, terpatuk-patuk aku menaip. Tak boleh jadi, kena tukar guna laptop jugak.

Perjalanan hari ini melalui Tol Ayer Keroh terus ke Tangkak. Tak banyak kenderaan. Lancar. Di tol Tangkak barulah ada jem sedikit. Nasib baik peronda lebuhraya yang menaiki Mitsubishi macam Inspira tu menahan trafik dari arah lain. Kami yang dari arah tol dapatlah bergerak dengan mudah. Petang nanti kaum tionghua nak makan besar. Sebab itu semuanya dah berebut nak bersama keluarga. Maaflah sebab aku menumpang tambahkan kesesakan.

Dapat bersama keluarga dalam satu kereta ni memang seronok. Rupa-rupanya dah lama aku tak bawa mereka lalui jalan hala Segamat. Si Adzrif sibuk menanya-nanya bila lalu di Sagil. Dulu bawa dia ke situ masa masih kecil. Nak pijak kaki dalam airpun takut. 'Oh, tak jauh dari rumah kita yek?', katanya. Entah apa ada dalam perancangan kepalanya. 'Nanti adik dah dapat lesen kereta bawak mama sini ye!', wife aku mencadangkan. Dia senyap saja macam kurang setuju. Malas aku nak menambah-banbah nanti perjalanan aku yang masih jauh ni tambah tension. Orang di Besut dah bertanya-tanya bila nak sampai.

Tiba di Taman Yayasan Segamat dahpun pukul 2.00 petang. Masa untuk isi perut. Susah juga nak pilih tempat makan yang sesuai sebab kurang kebersihannya. Kami order nasi ayam saja kecuali si Ijat yang makin nasi campur. Masa masuk tadi restoran ni kosong tapi bila kami dah pesan makanan ramai pula yang berhenti makan hingga tak menang tangan pelayan kedai ni. Harga makannnya agak murah. Untuk lima orang makan tak sampai RM 30.

Sebelum terus redah lebuhraya Tun Razak untu ke Kuantan kami singgah kejap di stesen Petronas situ untuk solat zor dan asar jamak. Dah selesai solat tentu perjalanan rasa lebih selesa. Walaupun tempat solatnya kecil dan cuma muat 3 orang sahaja tapi syukur jugak sebab stesen-stesen minyak kini ada yang prihatin. Memang kita di Malaysia nak solat tempat yang selesa tapi kalau tengok di Kaherah dulu di tepi jalanpun mereka bentang sejadah dan solat.

Melepasi kawasan Semambu di Kuantan ternampak pula orang jual durian. 'Wah Musang King', kata wife aku. Aku tahu dia memang 'hantu durian', dan Musang King memang kami tak pernah rasa. Apa lagi aku terus buat u -turn sampai 5-6 km untuk patah balik ke  kedai durian tu. Inilah masalahnya bila jalan ada divider, memang tak dapat nak pusing sesuka hati. Ada 3 biji saja musang king yang tinggal. 'Berapa sekilo?', aku tanya penjual warga indon. '28 ringgit'. Alamak. 'Oklah, kasi buka 2 biji ni'. Yang sebiji lagi nampak ada cacat sikit. Harga RM 28.00 mestilah harapkan yang terbaik saja. Memang betullah, durian musang king ni sangat sedap. Tak boleh lawan rasanya. Memang berbaloi. Rasa nak siji dua lagi bila nampak taukenya hantar lagi beberapa biji dengan kereta Iswarana. Mengenangkan perjalanan masih jauh dan takut nanti pening kepala, memadailah tu. Untuk dua biji tu harganya RM 64.00. Mau rasanya nak makan dengan kulit-kulitnya sekali.

Sepanjang perjalanan memang naik pitam dibuatnya. Bila ada saja orang yang sendawa satu kereta tak tahan dengan bau gas beracunnya. Terpaksalah kejap-kejap buka tingkap.

Selepas top-up sikit tangki minyak aku terus gerak ikut jalan menghala Kemaman. Biras aku suruh ikut jalan itu. Katanya jalan Jabor-Jerangau kurang elok dan Lebuhraya Pantai Timur belum siap betul. Memang kesian kat orang Pantai Timur ni kalau difikirkan. Kalau di Pantai Barat, dari Johor Bahru hingga Bukit Kayu Hitam lebuhraya begitu selesa. Cuma siapkan duit tol saja. Tiba Kemaman aku ikut laluan alternatif seperti yang Abg Din cadangkan. Nampaknya tak singgahpun kat mana-mana di Kemaman ni. Kopi Hai Pengpun tentu tutup sebab dia nak makan besar dah ni.

Aku redahlah senja hingga ke malam lalui Kertih, Paka, Dungun dan Marang. Perut mulalah pulak berkeroncong. Tiba Besut nanti mahunya dah tengah malam. Tuan rumahpun dah tidor mungkin. Malas dah mereka nak tanya kami dah sampai mana. Gerai-gerai makanan tepi jalan memang banyak tapi was-was nak singgah sebab semuanya nampak kosong tiada pelanggan. Jalanraya sinipun memang asing kepada aku. Memang kena drive paling berhati-hati. Hampir juga nak accident apabila ada kereta yang berlumba dan buat emergency brake masuk depan aku. Tak boleh jadi ni. Aku rehat sekejap untuk solat Maghrib dan Isyak jamak takhir. Rasanya dah masuk 400km aku drive sorang-sorang ni. Selagi terdaya ni, tak berani pulak nak tukar driver. Lagipun tak ada siapapun yang offer nak drive. Agaknya bila Adzrif dan ada lesen mau dia yang offer. Setakat ni bila tengok dia 'curi-curi' driving tu caranya cermat.

Tiba bandar Marang kami pilihlah kedai makan seberang jalan yang nampak ramai pengunjungnya. Nama kedai unik. Perindu Kuning. Sayangnya makanannya perlu perbaiki lagi. Nasi goreng USAnya, alamak ciput. Tak ada rupa macam nasi goreng USApun. Tak sampai hati tengok anak-anak yang terkulat-kulat, aku suruh mereka sambung pinggan kuetiau hailam yang aku jamah sedikit sahaja sebab rasanya agak masin. Mungkin itu rezeki yang ditetapkan untuk kami untuk dinner.

Pukul 10.00 malam baru kami gerak semula menghala Kuala Trengganu. Jalan nak ke Besut ni memang aku tak familiar jadi aku follow signboard saja. Ada GPS pun aku tak aktifkan. Berpusing-pusing aku di Bandar KT ni dibuat. Nak ke Besut kena ikut arah Kota Bharu. Sebab Pekan Jertih dalam daerah Besut (ker terbalik) maka signboard yang adapun tunjuk nama Jertih. Aku drive sajalah macam orang buta dalam malam yang gelap gelita. Tak macam Melaka yang jalanrayanya terang benderang dengan lampu jalan, nampaknya Trengganu kena contohi Melaka. Lagipun duit minyak sini banyak, aku difahamkan. Tengok saja 'kemeriahan' aktiviti petroleum di Kertih tu.

Alhamdulillah sampai juga aku di Kertih bila waktu nak masuk tengah malam. Aku tanyakan Abg Din mana arah ke rumahnya. Rupanya dak dekat 10km lagi. Aku kena masuk simpang ke arah Kg. Raja. Selepas jumpa pam minyak dia tunggu aku di situ. Huh, lega rasanya. Rupanya nak ke rumahnya tak perlu sampai pergi Kertih. Ikut jalan pantai saja dari KT. Manalah aku tau!

No comments:

Post a Comment