Sunday, January 29, 2012

28.1.2012

Lama benar tak hadiri majlis ilmu rasanya. Walaupun banyak benda boleh dipelajari dengan membaca atau menonton apa-apa media elektronik tetapi menghadiri kelas secara live lebih 'afdhal' lagi. Kata orang lagi barakah kalau belajar tu berdepan dengan guru. Maka, hari ini pagi-pagi aku dah siapkan diri untuk menghadap guru.

Walaupun tiba terlebih sedikit 9.00 pagi, program Kursus Pengurusan Jenazah yang diadakan di Surau TNB Bukit Serindit belum bermula lagi. Penuh satu khemah lelaki aku lihat masing-masing sedang menjamu minuman pagi. Sebab datang lewat dan nampak semua memandang, aku salam setiap orang yang ada dalam khemah samada mereka staff yang akau kenal atau tidak. Terasa pulak aku ni macam YB PAS bila datang dengan kemeja putih kolar singkat, berseluar hitam dan berkopiah putih. Aku dah agak mesti mereka mulai dengan minum-minum dulu. Sebab itu aku lewatkan sedikit datang untuk bersarapan di rumah dulu. Kalau tak sarapan di rumah kesian pulak wife menonggeng-nonggeng menggoreng mee. Mungkin sebab perut kurang selesa dek kerana masih lagi makan dua jenis antibiotik selepas cabut gigi hari Rabu lepas tak habis aku makan sepinggan mee yang wife hidangkan.

Alhamdulillah aku lihat ada kira-kira 60 orang menyertai kursus ini. 'Nampaknya senanglah bila mati nanti, ramai yang boleh menguruskan nanti', aku berselorah. Ada pula menjawab, 'dah mati apa nak fikirkan senang atau susah'. Ya tak ya jugak. Disebabkan YDP PKPI atau orang besar lain tiada, Yuzi suruh aku sampaikan ucapan perasmian. Memang tak prepare apapun sebab hajat datang nak jadi murid. Untuk tak henghampakan aku berdirilah juga memberikan sepatah dua kata. Sebetulnya walaupun aku memang pantang jumpa mic, tapi sejak akhir-akhir ni rasa dah malas nak bercakap. Bukannya apa, terasa pula lagi banyak bercakap lagi banyak pula mungkin tersalah atau tersasul. Lagipun sekarang ini semua orang dah pandai-pandai. Nanti lain yang kita cakap, lain yang ditafsirkannya.

Kursus dikendalikan oleh ustaz Nor Azlan. Beliau bekas pegawai KAGAT. Sekarang dia jadi pegawai agama seluruh Felda di negeri Melaka kecuali Felda Tun Ghaffar, Bukit Senggeh. Dia masih muda baru berumur 43 tahun. Itu serba-sedikit yang aku tahu tentangnya. Juga beliau berpengalaman menguruskan jenazah samada ketika di ATM mahupun diluar. Tidak hairan ketika mengendalikan praktikal kursus ini beliau begitu cepat dan cekap yang membuktikan kemahirannya.

Jujurnya, inilah kali pertama aku mengikuti kursus uruskan jenazah ini. Mungkin dulu-dulu rasa macam tak nak libatkan diri langsung dengan hal macam ni. Tapi sebagai muslim, sepatutnya kena ambil tahu cara-cara nak uruskan jenazah dengan cara yang baik dan mengikut hukum agama. Kursus percumapun kalau tak nak ikut serta rasanya rugi sangatlah. MEnghadiri kursus inipun menyedarkan kita tentang kehidupan didunia ini akan berakhir dengan kematian. Surah Ali Imran ayat 185 menyebut - 'setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati...'. Surah An Nisa' ayat 78 menyebut - 'Di mana jua kamu berada, maut akan menemui kamu. Sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Juga Surah Al A'raf ayat 34 menyebut - Apabila sampai ajal seseorang kamu, tiada akan dapat meminta tangguh atau minta dipercepatkan, walaupun sesaat'.

Ada beberapa perkara yang aku pelajari dalam kursus ni yang rasanya perlu aku kongsikan. Kematian biasa yang dialami oleh seseorang rupanya ada tanda-tanda awal selain tanda-tanda biasa yang menandakan diri telah tua. Bila tiba tempoh 100 hari sebelum mati, akan terasa getaran pada otot di tengah dahi selepas masuk waktu asar. Rasanya agak lazat. Tiba tempoh 40 hari terasa berdenyut di pusat juga selepas waktu asar. Ketika ini daun yang tertulis nama si mati akan gugur dari pohonnya di Arasy. Malaikat Izrail yang tugasnya mencabut nyawa akan mengikuti 70 kali sehari dan sesekali menunjukkan dirinya yang boleh dilihat sekilas lalu dan kita jadi bingung. Tiba tempoh 7 hari, jika seseorang itu dulunya sakit tiba-tiba dia jadi sihat dan berselera makannya. Ketika tinggal lagi 3 hari, akan terasa denyutan di tengah dahi semula dan mata hitam tidak bersinar. Telinga dan hidung juga mula kelihatan jatu tak bermaya manakalan tapak kaki melentur ke depan. Apabila cuma tinggal sehari lagi, akan terasa denyutan dii ubun-ubun kepala. Itu antara maklumat yang dicakapkan oleh ustaz tadi.

Selepas memberikan teori menggunakan slide presentation, ustaz menunjukkan cara-cara penyedian kain kafan dan memandikan mayat. Hj. Yunus volunteer untuk dikafankan manakal Nordy jadi 'pelakon' untuk mandi jenazah. Mahu rasanya aku jadi 'model' untuk lakonan-lakonan tersebut, tapi nasib baik ada yang dah angkat tangan dulu. Jika tidak terpaksalah 'dibogelkan separuh badan. Nordy telah dimandikan siap dengan air kapur barus dan cendana manakala Hj Yunus juga dipakaikan dengan baju mayat dan dikafankan dengan tiga lapisan kain yang telah diletakkan kapur barus, cendana dan air mawar. Sebahagian tubuhnya juga disaluti dengan kapas. Mungkin agak sebab 'selesa' dia dalam keadaan begitu sehingga terlelap dia sambil berdengkur.

Diam tak diam majlis yang sepatutnya selesai pukul 12.00 tamat jam 2.00 petang. Sempatlah solat Zohor berjamaah di surau dan makan sedikit nasi beriani ayam bungkus yang dibekalkan. Rasanya selepas ini mahu aku membantu pak bilal uruskan jenazah apabila ada kematian. Teima kasihlah ustaz dan penganjurnya PKPI kerana beri peluang aku timba sedikit ilmu ini.

Sepatutnya ada 2 jemputan kahwin hari ni yang aku dah rancang nak hadir. Sebab dah lewat nampaknya nanti aku kena salam bapak pengantin dilain hari sajalah. Tiba rumah Aidzat dah tiada  sebab dah balik ke Ipoh. Bila jenguk FB dia dah masukkan entry - dah sampai Ipoh. Alhamdulillah.

Sampai dah nak habis hujung bulan, aku belum balik kampung lagi jumpa abah. Selepas maghrib kami tiga beranak terus balik kampung. Nampaknya kali ini dapatlah bawak si adik ikut sekali. Mungkin tadi dah bagi duit untuk servis LCnya dia ikut saja cakap aku. Rambutnyapun dah potong kemas untuk hadapi ujian memandu hari Selasa nanti.

Berjumpa dengan orang tua yang dah kurang pendengaran ni memang susahlah nak berkomunikasi. Walau uzur dia nampak happy bila nampak aku balik. Sama jugalah macam aku happy bila anak balik. Cumanya macamanalah agaknya aku dapat jumpa dia sekerap mungkin. semasa hidup mungkin tak rasa apa-apa, tapi nanti bila dia dah tiada macam arwah mak, siapalah yang aku nak jenguk lagi...

No comments:

Post a Comment