Monday, January 30, 2012

29.1.2012

Semenjak dah amalkan senaman ringan push-ups dan cangkung setiap pagi ni rasanya badan dah mula rasa ringan sikit. Dah ringan badan jadi berat pula nak brisk walking macam biasa. Dah dua minggu tak brisk walking nampaknya. Wife pulak ajak cari lauk di pantai. Oklah follow saja. Cuaca pagi nampak cantik saja.

Semasa lalu jalan Bkt Tempayan wife berkenan tengok rumah kecil yang di bina begitu cantik. Masa awal dibina dulu nampak dibina guna batu simen saja. Tapi bila dah siap mengalahkan rumah mewah lain. Ada kesempatan aku nak berhenti ambil gambarnya. Rasanya bila pencen nanti bolehlah aku buat rumah begitu di Bertam Ulu tapi nak buat bilik berderet dengan koridor supaya masing-masing anak boleh tinggal dengan lebih privacy. Kalau tak ada siapa duduk aku boleh sewakan bilik macam home stay. Depan halaman nak tanamlah sikit pokok-pokok buah-buahan dan sebelah atas tanamlah sayur-sayur kampung. Siapa yang datang menginap nanti bolehlah merasai suasana desa. Nak bagi real mungkin boleh bela ayam kampung atau burung-burung. Jauh aku berangan sambil driving rupanya.

Cari lauk dah pukul 10.00 pagi. Ikan banyak lagi tapi tak ramai sangat pembeli. Ramai yang dah pulang untuk berkerja agaknya. Setiap kali tengok harga ikan-ikan ini terfikir aku macamana harganya 10 tahun lagi. Ikan kembung dah RM 13.00, cencaru RM 14.00, bawal hitam besar RM 23.00, ikan duri RM 14.00 sama dengan harga iakn yu. Kena cuba makan ikan yu pulak agaknya lepas ni. Sotong biasa dah RM 18.00 sama  harga dengan udang kolam. Udang laut tak jumpa. Yang ada udang geragau yang dijual secara longgok dalam piring dengan harga RM 5.00 satu. Harga ketam lagi teruk, walaupun saiz kecil dan ringan sebab bulan gelap dijual dengan harga RM 22.00. Belum tentu baik atau tidak isinya bila masak nanti. Ikan parang atau jenahak jangan cakaplah harganya, memang dah melebihi RM 30.00.

Membeli ikan tak macam dulu boleh tawar-menawar. Sekarang kalau mahu, angkat. Kalau tidak, ramai lagi orang nak beli. Mungkin itu prinsip yang dipakai oleh penjual. Tapi mereka juga komplen harga ikan yang dijual oleh peraih kepada mereka juga tinggi. Betul jugak. Apa nak jadi kalau berterusan macam ni?

Beli seekor ikan bawal hitam, ikan kembung, setengah kila sotong, udang dan  ketam hampir RM 100.00 dibelanjakan. Memanglah sikit kalau dibanding dengan gaji aku tapi kalau makcik-makcik kat kampung tu macamana. Takkan nak makan pucuk ubi dengan ikan kering saja hari-hari.

Dah beli lauk aku singgah sarapan di gerai sebelah. Sedap pula rasa roti sardin dengan air kopi pagi ni. Pelayannya pulak lebih mesra sekarang macam makan kat pizza hut bila dia pelawa aku datang lagi bila aku bayar. Tak banyakpun, cuma RM 8.50 saja. Dia menceriakan hari aku.

On the way balik lalulah kat tanah Bertam Ulu tu. Dah semak samun. Terbayang aku cantiknya nanti kalau dapat dirikan rumah 5 bilik di sini suatu hari nanti. Berangan dulu, ada rezeki jadilah kenyataan. Nampaknya kena minta orang datang mesin rumput dan racun. Kalau tidak kembali berhutan semula macam dulu.

Rambut dah panjang melawi. Memang rasa berat saja kepala bila rambut dah rasa panjang. Kanapathy tukang gunting dari India senyum tengok aku datang. Ingat nak buat fesyen ikut poster yang ada ditampal dalam kedai gunting itu. Si Kana geleng kepala sambil berkata, 'saya sudah tau apa awak punya fesyen'. Berbanding gunting rambut di JB sampai sekali ganda harganya di sini baru RM 7.00.

Sempat juga aku jemurkan badan sambil memebersihkan anak-anak pokok bunga di depan rumah.  selepas itu. Barulah nampak kemas sikit. Macam rambut yang dah dipotong pendek tak berserabut. Kerja-kerja memungut sampah-sampah tu aku serahkan pada si Adzrif. Adalah upahnya nanti tu.

Wife kata nak berehat tengahari ni. Dia nak makan rojak di Taman Asean. Aku menurut saja. Hujan turun pula bila masuk waktu Zohor. Hujan di tengahari. Baik juga hujan hanya sebentar saja. Ramai pula rupanya orang datang warung si Halim ni sampai kena tunggu orang bangun baru aku dapat tempat duduk. Aku order mee rojak kuah mee rebus. Wife yang mulanya nak makan mee rebuspun terikut selera aku. Lawannya pula air bali suam memang sesuai sekali. Habis licin kami makan. Si Adzrif yang malas nak ikut aku bungkuskan dia kuetiau goreng.

Memang tak banyak aktiviti yang menarik aku buat sepanjang hari ni. Ada tak ada melayankan FB dan email yang datang. Hujung minggupun nampaknya ada email kerja yang masuk dari kawan aku Noh di Johor. Agaknya dia ni 24 jam fikir hal kerja saja.. Aku pulak, semenjak guna Galaxy Tab baru ni lagi mudah pula akses email. Cumanya line internet Digi tak berapa elok kat tempat aku. Nasib baik ada wifi kat rumah ni. Semalam semasa balik kampung, line internet Digi di sana bagus pulak. Nampaknya kampung lagi maju pulak daripada tempat aku ni.

Kejap tadi sempat tengok AJL di TV3 selepas makan makan berlauk ketam masak lemak yang wife masakkan. Wife bad luck dapat makan ketam yang tak elok. Peminat-peminat Ustaz Azhar (UAI ) khabarnya ramai yang memenuhi Masjid Negeri di Shah Alam. Clash AJL dengan UAI. Dilema orang Shah Alam nampaknya.

Itulah untungnya bila guna FB dapat ikuti perkembangan rakan-rakan FB di sana sini. Si Edipun nampaknya dengar ceramah UAI. Aku yang jauh ni adalah excuse tengok AJL di TV3 ni. Yang aku nampak baik nyanyian tentulah Jacqualine yang mantap suaranya dan beberapa orang lagi. Yang paling sempoi aku tengok Hafiz anak Herman Tino yang menyanyi pakai track bottom singsing ke betis dan round neck t-shirt. Macam bapanya dulu yang lebih selesa pakai selendang kain pelikat. Nasib baik Anuar Zain tak nyanyi malam ni kalau tak memang jadi tamparan pulak. Suara Hafiz memang mantap dan persembahannya sangat bersahaja. Aku tak pernah dengar dia nyanyi  sebelum ni tapi boleh agak dia jadi cabaran kepada Jac yang nyanyikan lagi Sedetik Lebih yang dulunya dinyanyikan Anuar Zain. Sah tekaan aku. Hafiz menjuarai AJL kali ni dengan lagu Awan Nano yang di cipta oleh Datuk M. Nasir. nama penulis lirik aku lupa pulak. Persembahan budak itu memang berkesan sekali. Rupanya dia hasil AF7. Lepas ni aku nak cari lagu dia kat youtube...

No comments:

Post a Comment