Pagi ini jalanraya lengang. Hari bekerja pertama untuk tahun baru. Rupa-rupanya sekolah belum mula lagi. Siaplah nanti esok jalaraya tentu sesak. Jarak ke ofis yang baru 12 km ni nanti akan makan masa lebih 45 minit kalau tak kena gayanya.
Hari baru dengan semangat baru. Baju baru dan seluar baru aku pakai untuk pergi kerja. Untuk naikkan lagi mood, CK Euphoria Intense aku sembur ke badan. Harum semerbak pagi ini seisi rumah. Wife menjeling. Aku senyum saja.
Separuh hari ini di ofis melayan video conference sejak 8.30 pagi. Ada dua sesi pagi ini sebenarnya. Pertamanya majlis perpisahan mantan VP, Tn. Hj. Husin Othman dan sesi kedua Perhimpunan Perdana Tahunan Bahagian Pembahagian. Mantan VP ambil keputusan bersara awal. Bila aku hitung umurnya berdasarkan tempoh kerjanya yang 29 tahun, rupanya beliau setahun dua sahaja lebih umurnya dari aku. Sebab beliau orang hebat dan ada kelayakan akademik yang diperlukan, meluncur lajulah naiknya sehingga ke jawatan VP. Apapun semua itu rezeki yang Allah telah tentukan untuknya. Namun setinggi manapun pangkat, nampaknya beliau tidak hairankan sangat. Ketika ada yang berjuang untuk bersara sehingga umur 60 tahun, seusia 52 atau 53 tahun beliau telahpun memilih untuk bersara awal meninggalkan pangkat dan pendapatan yang sangat lumayan.
Menurutnya, beliau bersara awal kerana masalah kesihatan. Dah ada 4 stand di pasang di jantungnya! Lagipun tambahnya lagi telah 18 tahun beliau berulang alik antara KL dan Kota Bahru saban minggu. Isteri dan anak-anaknya menetap di KB. Bayangkanlah sendiri pengorbanan yang perlu dibuat dalam memenuhi tuntutan kehidupan. Rasanya bukan sebarang orang dapat menjadi sepertinya.
Kekuatan sebenar beliau sebenarnya adalah kerana kepatuhannya kepada perintah Allah. Beliaulah satu-satunya orang besar yang aku ketahui akan berhenti bermesyuarat apabila masuk waktu solat. Tidak kira samada beliau jadi pengerusi atau orang lain yang mempengerusikannya. Beliau juga sangat rendah diri walaupun tegas dalam tindakannya. Tidak hairanlah beliau amat disenangi oleh seluruh warga kerja. Hari ini sahaja sempena perpisahnnya tidak kurang dua puluh cenderamata diserahkan kepada kepada beliau sebagai tanda penghargaan. Begitulah sedikit kisah tentang seorang pemimpin yang tidak tamakkan jawatan, yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan pada usia yang perkhidmatannya masih diperlukan. Dan aku percaya alasan masalah kesihatan hanya sebab kecil kerana dilihat fizikalnya beliau masih cergas bertenaga dan mempunyai semangat dan disiplin diri yang tinggi. Selamat bersara Tuan Hj Husin....
Pengganti beliau adalah Datuk Baharin Din, dulunya Pengarah Urusan SESB. Tengok biodatanya, nampaknya VP baru ni 2-3 tahun lebih muda dari aku. Wah, yang inipun nampaknya tak kurang hebatnya. Aku pasti beliau akan dapat memimpin bahagian kami dengan lebih baik lagi berdasarkan pengalamannnya kira-kira 5 tahun di Sabah dulu. Memanglah cabaran syarikat sekarang semakin getir. Macam-macam isu ada. Expectation semua pihak terhadap TNB begitu tinggi terutamanya pengguna. Sepatah kata tentang pengguna kita ni 'hendakkan perkhidmatan taraf dunia tetapi pada harga taraf dunia ketiga - first class service at third world price'.
Sempena perhimpunan tahunan ini perbagai anugerah telah diberikan kepada para pemenangnya. Macam-macam anugerah, sampai lenguh rasanya tangan VP baru menyampaikannya. Negeri Melaka bertuah kerana berjaya menjulang hadiah paling berprestij bahagian iaitu Juara DLT yang jadi rebutan semua negeri. Agak terkilan walaupun menjadi negeri terbaik Boss gagal meraih gelaran GM terbaik yang jatuh kepada Pulau Pinang. Belum rezeki mungkinnya Boss. Anugerah Datuk yang baru diterima dulupun dah cukup besar tu.
Apapun tahniahlah kepada semua yang menang. Bagi aku yang cuma dari kalangan 'orang biasa-biasa' ni tak kisah sangatlah siapa yang menang atau tak menang. Yang penting bagi aku sentiasa buat yang terbaik dan ikut kemampuan yang ada. Kalau kerja mengejar pengiktirafan saja takut-takut nanti semuanya kita buldoz demi memenuhi nafsu sendiri. Sikap mantan VP patut dijadikan contoh ikutan yang baik sebenarnya....
No comments:
Post a Comment