Wednesday, January 4, 2012

4.1.2012

Pukul 5.47 pagi Camilla dah hantar sms. Betul tekaan aku. Kalau hantar sms awal pagi tentu nak beritahu dia tak datang kerja. Tidak sihat katanya. Kebelakangan ni memang dia kerap tidak sihat. Mungkin faktor umur agaknya. Aku jawab, 'ok'. Nak jawab macamana lagi kalau dah orang tak sihat.

Pagi nipun badan aku juga rasa tak sihat. Lepas siapkan diri aku bersarapan dengan 2 keping roti dan secawan milo. Tak lupa aku menelan kapsul habbatus sawdah yang boss aku rekomen tu. Radio IKIM adalah teman dalam perjalanan ke tempat kerja. Bila dengar motivasi pagi yang disampaikan oleh ustaz dapat juga bermuhasabah diri di awal hari. Sambil tangan membilang tasbih berzikir dengan zikir amalan harianku. Bukan nak kata aku ni alim sangat, tapi mungkin dapat kontrol sikit 'sifat jahat' yang ada dalam diri bila mengingati Allah.

Pagi ini ada perhimpunan di yard. Aku terus ke sana. Matahari pagi tepat memancar ke mata. Untuk elak silauan aku panjangkan leher berlindung pada visor. Cermin mata yang aku pakai nampaknya tak dapat melindungi mata aku dari silau matahari. Dalam keadaan begini semua orang nampaknya memandu berhati-hati.

Perhimpunan pagi ini untuk sambut kemenangan Melaka yang dinobat Juara DLT semalam. Boss nak kongsi kegembiraan dengan staff. Nampaknya kontraktor-kontraktorpun dijemput sama. Merekapun ada peranan jugak. Nampaknya aturcara ad-hoc yang dirancang 8.00 pagi tak tepati waktu. Boss tak sampai lagi. Apa nak buat tunggu sajalah.

Kami berbaris panjang untuk menyambut Boss datang di hadapan pintu masuk. Pukul 8.30 beliau tiba. Siap  dengan diiringi polis bantuan. Turun kereta beliau terus bersalaman. Aku salam dan ucap tahniiah kepadanya. Alamak, mana pialanya yang nak disambut! Driver dikerah mengambilnya yang dah diletakkan entah ke mana.

Nampaknya hidung mula berair dan bersin makin keras. Perhimpunan pagi ni aku dah tak rasa apa-apa gahnya. Mungkin dah kerap sangat dinobatkan dengan berbagai pengiktirafan, nikmat kemenangan dan rasa kebanggaan dah tak aku rasai apa-apa lagi. Biarlah siapa nak berbangga tu tersenyum lebar dan ketawa besar. Malas nak mengukur-ukur kejayaan yang dicapai ini lagi. Bukan patah hati, tapi pada pendapat aku dalam kerja bukan pengiktirafan yang dicari tapi terus beri sumbangan setimpal dengan upah yang diterima. Banyak ruang untuk pembaikan untuk memenuhi kehendak pengguna dan stakeholder. Apapun biarlah masing-masing dengan caranya.

Mungkin mood yang tidak berapa bagus ni sebab kesihatan yang terganggu pagi ni. Selepas nyanyian lagu-lagu wajib, doa dan ucapan Boss serta gimik penyampaian anugerah2 dilakukan aku terus ke kereta. Alamak aku memang tak sihat hari ni. Berhelai-helai tisu aku dah gunakan untuk keluarkan lendir hidung. Bila semua orang bergerak mencari sarapan aku terus ke Klinik Nik. Sempat aku sms Boss, mohon EL sebab rasa tak larat kerja. Beliau membalas pendek, 'k'.

Pagi ni aku pesakit pertama di klinik tu. Terpaksa pulak menunggu doktor.

Bila nama di panggil, doktor terus menanya, 'Apa yang awak dah makan ni? Ni alahan'.
'Makan biasa jer doktor, cuma semalam makan sup lembu Tangkak dan pagi ni baru makan dua keping roti'.
'Makanan yang biasa takkan jadikan kamu alah'.
'Pagi tadi ada juga saya ambil habbatus sawdah'.
'Haaa...itu awak tak boleh makan. Kan saya dah bagitau, semua tu ada masuk macam-macam bahan'.
'Macamana dengan kapsul Tongkat Ali nu-prep 100 pulak, doktor'.
'Sama aje, awak tak boleh makan!'.
'Habis macamana saya nak bagi kesihatan baik sikit pada umur gini?'
'Awak bangun pagi dan bersenam, jogging...'.
'Mana sempat doktor, pagi saya nak gi keje sebelum pukul 8.00'.
'Awak bangun ler pukul 4.00 pagi...'.
Aduh, pening aku dengan jawapan doktor ni.
'Tak ada cara lain, u must let your body do it the hard way, no short cut'.
Malas nak bahas panjang lagi.

Doktor terus bagi makan 2 biji pil dan bagi MC sehari. 'Balik rehat', pesannya. Dr Nik memang dah 28 tahun jadi doktor panel aku. Sejak dari bujang lagi sampai lah aku kahwin dan beranak pinak. Dia tahu benar sejarah kesihatan aku. Sinus yang aku alami ni bersifat genetic.

'Awak dah dipilih dapat ayah dan ibu macam tu dan ini hasilnya, just accept it', itu pesanan tambahan darinya.

Aku terus pulang ke rumah dan terus berehat. Dalam kotak fikiran bermain macam-macam persoalan tentang produk-produk kesihatan tradisional dan alternatif ni. Terpaksa aku akur juga nasihat doktor ni sebab bila dilihat pada peringatan yang ditulis pada botol-botol kapsul tu ada menyatakan, if simptom persists, please consult a doctor.

No comments:

Post a Comment