Alhamdulillah, walaupun hari ini Sabtu dan bukan hari kerja, bangkit dari tidur di awal pagi amat senang walaupun masuk tidur semalam melewati jam 12.00 malam. Subuh ini begitu tenang. Surah al Buruj dan at Thariq yang dibaca oleh Hj Alias dalam solat subuh ini sangat indah susunan bunyinya. Siapalah yang dapat menandingi kalimah-kalimah Allah ini.
Pukul 7.15 pagi lagi aku dan wife dan bergerak ke Cheng Setia untuk beriadah pagi. Walau jarak tak sampai 1.5 km kami tetap menaiki kereta sambil mendengar siaran ulangan Islam Itu Indah yang disampaikan oleh Dr Muhaya di radio IKIM. Walaupun setahu aku beliau bukan seorang ustazah yang mahir dalam bidang agama tetapi kecenderungan beliau menerap dan mengamalkan agama sepertimana yang sepatutnya menyebabkan beliau dapat memberikan motivasi dan inspirasi kepada ramai pendengar. Pakar mata ini antara penceramah IKIM yang kami kagumi dan jadikan idola.
Nampaknya pagi ini cuma ada 3 orang sahaja yang sedang beriadah di taman permainan. Mereka jiran setaman aku. Kami bertukar senyuman apabila berselisih. Maklumlah biasanya bila berjalan, aku melawan arah putaran jam seperti mana bertawaf dan mereka di arah sebaliknya. Nampaknya tiada rakan-rakan tionghua pagi ini. Yang adapun hanya seorang nyonya yang dihantar oleh anaknya dengan Kelisa tadi. Tapi selepas tiga kali pusingan pun aku lihat dia hanya termenung sendirian di anak tangga menuruni taman permainan ini. Apa masalah nyonya ini agaknya? Pakaian sukan dah lengkap tapi dia hanya duduk dengan wajah yang muram. Agaknya dia keseorangan sebab dah kematian suami mungkin. Aku katakan dengan wife, 'agaknya begitulah awak nanti bila saya dah tiada lagi...'. Wife buat 'dek'.
Lima atau enam pusingan juga kami brisk walking pagi ini. Maklumlah pesanan Dr. Nik hari Rabu lalu suruh aku exercise masih lekat di hati. Untuk menambahkan lagi jarak berjalan kami 'mencuci mata' melihat rumah-rumah banglo dan semi-d yang terhias indah di taman perumahan ini dengan menyambung berjalan. Penghuni taman perumahan ini memang berlawan-lawan antara satu sama lain agaknya. sebab itulah pagar, tembok dan halaman semuanya diberikan perhatian dan cantik-cantik belaka.
Dah penat exercise, wife mulalah pula memikirkan nak makan apa untuk sarapan. Aku dah pekena cereal kat rumah sebelum ni tadi. 'Oklah, kita cari mee sup Nek Munah di Sg. Petai'. Kedai makan ni jarak10 km jugak dari rumah aku. Sebelum buat pusingan u untuk ke empat ini aku nampak kereta dah berderet di tepi jalan. Memang antara warung favorite ramai orang untuk sarapan. Aku order mee sup dengan kopi O, wife order mihun sup dengan Milo. Bungkus roti telur dan roti kosong untuk anak bujang yang menyambung tidur kat rumah sekali. Belanja untuk semua itu cuma RM 11.50. Jika pandai memilih, makanan di Melaka ni memang banyak lagi yang murah-murah.
Selepas singgah hantar sarapan untuk anak bujang, kami terus ke pasar besar. Lama betul tak ke pasar ni. Biasanya kami berbelanja di pasar Pantai Puteri sahaja. Pagi Sabtu memang ramai orang di pasar. Gerai menjual rempah mee bandung Mak Pon tutup pulak nampaknya. Matlamat kami nak cari rempah tersebut nampaknya hampa. Ikan-ikanpun tak banyak pilihan hari ini. Yang banyak cuma ikan cencaru atau ikan jeket sahaja. Harga ikan nampaknya agak tinggi walaupun dah kurang kesegarannya. Harga udang laut jangan cakaplah bila nak dekat raya cina ni. Apapun aku beli sedikit ikan bawal, parang dan udang selain beberapa jenis sayur dan ulaman. Cukuplah beli ala kadar untuk makan kami tiga beranak. Itupun wife dah pesan supaya tengahari ni makan luar saja. Dia nak rehat. Baik boss!
Hajat hati balik dari pasar aku nak bersihkan kolam koi yang dah tersumbat pamnya. Baru nak bersiap untuk jadi kuli, si Ayep sampaikan pesan Hj Din yang jual cendol jemput kenduri akikah di rumahnya. Dia pesan datang masa tu juga. Kalau dia jemput sukar aku tolak sbb Hj Din nilah yang mengiringi dari keluar rumah hingga ke KLIA ketika aku mengerjakan haji 2 tahun lalu. Pergi kenduri akikah jangan lupa bawa sedikit duit untuk hadiah kat baby yang baru melihat dunia.
Dah lama aku tak hadiri majlis seperti ini sebenarnya. Dulu kerap juga. Terlupa aku untuk majlis ini ada berzanji dan bersalawat. Nampaknya Hj. Osman yang duduk bersila sebelah aku mahukan aku baca satu rawi berzanji. Kitab berzanji dia hulurkan. Mahu tak mahu aku bacakan juga. Sebab dah lama tak baca, hanya bacaan di pangkal rawi saja yang lancar tapi dah penghujung jadi kelam kalibut.
Bertuahnya cucu Hj Din ni ditahnik oleh seorang ustaz. Aku tak kenal ustaz ni. Tak macam majlis lazim yang bayi dibawakan kepada setiap jemaah ketika berdiri berselawat untuk diusap dan potong rambutnya, masukkan dalam air kelapa, masukkan bunga rampai ke poket dan sedekah seringgit dua dalam dulang. Tapi kali ini nampaknya baby diletakkan sebelah ustaz. Selesai doa dia suapkannya dengan buah kurma yang dah dikunyahnya dan disuapkan bersama air zam-zam.
Diam tak diam anak perempuan sulung Hj Din ni dah dua orang anaknya. Jamuan diberikan selepas majlis memang lazat. Berkat agaknya. Kari kambing dan gulai lemak rebung di pinggan licin aku kerjakan. Maklumlah kambing akikah dagingnya lembut sebab kambingnya terpilih.
Lepas solat zohor ada tugas lagi untuk bawa wife dan si bujang pergi lunch. Ikut cadangan asal nak makan pizza, tapi bila masuk kereta tukar selera nak makan nasi arab pula. Ke mana lagi kalau tak ke Dima. Sebab perut akupun dah kenyang, hanya wife dan Ayep yang makan nasi mandi ayam. Aku order Barbican strawberry. Pun begitu bila tengok nasi yang kuning menggoda aku tumpang juga sesuap dua pinggan wife.
Hari ini mamang untuk bersantai. Apa nak buat lepas makan ni? Jom tengok K5. Jom, jom... Semua setuju. Mereka memang nak tengok sangat aku pakai kereta yang baik sedikit sebab Perdana aku tu bulan 3 ni nak masuk 10 tahun usianya. Walaupun aku dah beli MyVi dan Swift selepas itu tapi dua-dua tu untuk anak dan wife. Kia Optima K5 ni memang cantiklah. Kalau nak beli masa menunggu sekurang-kurangnya 2 bulan. Ada sunroof, 6 airbags, rim 18 inci, enjin 2.0 liter sama dengan Sonata dan harga lebihkurang sama juga, RM 143k on the road. Memang canggih kereta ni. Serba-serbi memikat. Kalau gelap mata mau aku let go Perdana tu. Nasib baik Perdana aku tu cuma laku RM 15k, kata si Peter salesman selepas rujuk dengan second hand dealer.
Perkiraan aku dalam berkereta mudah. Cuma susah nak decide. Kereta Perdana dah berusia dan sekarang dah mula sakit-sakit walaupun belum tahap sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Dah hilang gah tapi isi minyak boleh jalan. Kereta baru nampak cantik, mewah dan ada karekter. Bila pakai K5 ni aku akan nampak bergaya dan sesuailah dengan jawatan yang disandang kononnya. Tiap-tiap bulan selama 9 tahun hingga lepas umur bersara kena bayar RM 1,600++ selain kena isi minyak bila nak gunakan. Komitmen banyak lagi dengan anak-anak ni dan masing-masing menadah tangan dan menganga mulut untuk aku suapkan. Walaupun bulan ni gaji akan naik sikit tapi...alahai pening nak memikirkannya. Biarlah aku belek-belek brochure K5 ni dulu dan bawa tidur. Mana tahu nanti malam dapat mimpi dan dua bulan lagi jadi realiti!
Petang ni aku habiskan masa dengan singgah ke Jusco Bandaraya Melaka. Hasrat nak belikan baju untuk anak, tapi si mamat ni rasa dia dah besar sangat dan tak sesuai aku temankan dia memilih baju untuknya lagi. Tak mahu tak apa. Selamat sikit duit aku. Rupanya tak selamat juga sebab lepas masuk kedai Valentino Rudy, wife kecek beli handbag dan aku sambar kasut baru. Terbang juga RM 500 bila keluar kedai tu. Dah, jom balik.....malam makan maggi cup aja!
No comments:
Post a Comment