Sunday, January 8, 2012

8.1.2012

'Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.' 

Ayat 190 daripada surah Ali 'Imran ini memang indah susunannya dalam al Quran dan baru saja selesai aku iqra'kan selepas solat Isya' tadi. Memikirkan kejadian alam yang Allah ciptakan yang penuh misteri membuatkan ramai orang tercari-cari erti kehidupan. Sayangnya ramai yang hanyut dalam kesesatan sedangkan semuanya telah tersimpul dalam al Quran. Nauzubillah.

Bulan adalah antara kejadian Allah di alam ini yang indah ciptaanya. Bulan bercahaya lembut menyerikan isi alam ketika mengambangnya. Semalam bulan mengambang penuh, malam 14 Safar. Sempat aku membaitkan puisi ini selepas mengintainya dari celahan daun-daun halus buluh di taman kecil aku.

Pabila bulan mengambang lagi,
awan berarak menepi,
terbentang langit berseri,
kerlipan bintang seakan terhenti.

Pepohonan pun terpegun kaku,
unggas di belantara tak lena beradu...

Hari ini seharian aku di rumah. Tak beriadah pagi ini tetapi sempat aku lakukan push-up dan 'senaman cangkung' selepas bangun pagi. Aku terdorong melakukannya setelah menonton M3 malam tadi. Itu nasihat daripada Sensei Taekwando dari Okinawa tu (lupa aku namanya). Mungkin badan masih ringan, jadi aku dapat lakukan push-up 10 kali dan 'senaman cangkung' 20 kali seperti yang Sensei sarankan itu dengan agak mudah. Selepas ini harap dapat jadi rutin bila bengkit dari tidur setiap pagi. Macam-macam cara boleh buat demi kesihatan diri.

Disebabkan banyak masa terluang pagi ni, sempat juga solat dhuha. Solat dhuha sunat dilakukan setiap hari bagi memohon rezeki. Sebaiknya ayat lazim yang dibaca adalah dari surah Ass Syams dan surah Dhuha. Selepas solat, doa yang dibaca antaranya bermakna, 'jika rezekiku di langit turunkanlah, jika di bumi keluarkanlah, jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah dan jika jauh dekatkanlah...'. Rezeki ini bukan maksudnya wang ringgit dan hartabenda semata-mata, tetapi segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan termasuklah nikmat kesihatan, masa lapang, fikiran yang bersih, hati yang tidak kotor dan sebagainya. Solat dhuha juga mendekatkan kita dengan Allah.

Bersarapan pagi yang lewat. Wife sediakan mee goreng pagi ni. Mee kuning kuji ini produk muslim yang aku mesti beli bila ke pasar. Sekarang tokehnya sendiri menjualnya. Sedap mee goreng pagi ni. Banyak juga aku makan, sebab selepas tu nak ke halaman cuci kolam koi. Cuma koi kampung. Wife suka sangat dengan ikan-ikan tu. Bukan besar sangatpun kolam yang dah berkeladak tu, tapi kalau tak digesakan semangat, mau mati ikan-ikan tu keracunan najisnya sendiri. Nasib baik si Adik ada menolong. Senang sikit kerja aku.

Memang berkeladak betul. Aku drain habis air kolam tu, tapi lumut-lumutnya yang hijau aku biarkan. Selain bagi nampak natural, lumut-lumut tu dapat mengawal suhu dan pH air, dan jadi bahan 'ragutan' ikan-ikan. Pasu-pasu dan pokok bunga pun aku kemas dan trim sekali. Mana-mana yang tak perlu aku buangkan sahaja. Dah bersih semunya, air paip aku masukkan ke kolam dan tak lupa anti-chlorine. Kalau lupa, mau terapung koi-koi tu lepas ni. Aku lepaskan semula ikan-ikan seekor demi seekor. Ikan-ikan tu nampak berenang riang ke sana ke mari. Akupun turut seronok. Beres dah tugas yang tertangguh lama ni. Sambil makan cornetto yang si Adik belikan aku memerhatikan ikan-ikan  dari atas wakaf 6, tempat istirahat aku.

Wife dah siap masak dan panggil masuk untuk lunch. Perut memang dah lapar semula. Tepat timingnya. Nampaknya lauk hari ni masak lemak pucuk manis campur keledek merah, sambal udang dan ikan bawal goreng. Makan ketika lauk masih panas memang menyelerakan. Selesai makan ada pencuci mulut pulak tu. Pengat sagu campur nangka dan keledek juga. Jarang wife siapkan desert sekali macam ni. Agaknya sebab hari-hari aku tanya tentang nangka yang dah 2 minggu terbiar dalam fridge, dia buatkanlah pengat nagka. Pandaipun memasak, saja tak nak tunjukkan bakat!

Lepas solat zohor mata rasa mengantuk betul. Nak layan FB pun tak larat sungguh. Terlepas HTC dari tangan. Macam-macam aku termimpikan dalam tidur petang ni, termasuklah mimpikan arwah mak. Bingkas aku bangun untuk solat 'Asar dan berdoa untuk arwah. Setiap petang Ahad hati aku memang selalu rasa sebak, sebab dulu waktu Asar beginilah dia nazak. Agaknya dia mengingatkan aku supaya jangan melupainya. 'Ya Allah, ampunilah ibuku dan kasihanilah dia, sebagaimana dia mengasihiku semasa aku kecil dulu. Perkenankanlah, ya Allah'.

Sebelum maghrib aku menghabiskan lebihan mee goreng pagi dan sedikit pengat. Tak lupa juga secawan kopi Radix. Memadailah untuk mengganti makan malam. Makan sekadar untuk hidup, bukan sebaliknya....

No comments:

Post a Comment