Apa yang seronoknya hari ini? Bagi aku yang paling seronok pagi ni wife buatkan sarapan jemput-jemput bawang. Bukan aku yang suruh buat, tapi anak bujang yang sorang tu. Seronok kerana jemput-jemput yang dibuat pagi ni sedap betul. Luarnya garing cukup-cukup sahaja dan dalamnya lembut. Minyak tak lekat dan garam secukup rasanya Sedar tak sedar satu pinggan aku habiskan sebelum gerak untuk pergi kerja. Nyaris terlewat sampai ke tempat kerja.
Sebenarnya waktu nak gi kerja pagi ni rasa tak sedap badan. Malam tadi sebelum tidur dah telan sebiji pil selsema. Rupanya sampai pagi badan bergegar dek kesan ubat tu. Lagipun pagi Isnin memang dugaan berat untuk pergi kerja. Apa tidaknya setelah 2 hari bersantai-santai. Pagi ni trafik bergerak perlahan betul. Setiap lampu isyarat yang aku tempuh semuanya warna merah. Bayangkan nak melepasi minima 7 lampu isyarat untuk jarak 12 km. Dah bajet untuk sampai ofis dalam setengah jam. Terpaksalah aku tekan pedal minyak kuat sikit, jika tidak terpaksa bersoal jawab bila datang lewat. Sebagai seorang pekerja tak kira pangkat aku kena juga patuhi peraturan syarikat.
Sampai pejabat aku terus ke bilik. Nama saja aku ni boss tapi pintu bilik buka sendiri juga. Boss keciklah katakan. Lainlah dulu masa si Safina atau Suzana jadi PA aku, tiba ofis semua dan bersambut dan tersedia. Itu kenangan dulu. Sekarang ni pun ada juga pembantu sukarela, tapi agaknya dia perlu masa lama untuk mekap kat bilik air setiap pagi. Tu yang tak kuasa dia nak melayan aku agaknya. Jawatan aku ni walaupun gaji agak lumayan belum layak ada PA sebenarnya, tapi sebab dulu dah dimanjakan, terasalah sikit lain macam.
Atas meja memang tak banyak surat-surat untuk diambil tindakan, tapi dalam to-do-list memang berjela benda nak dibuat. Siap clearkan in-tray aku menyemak email dan laporan yang dihantar melaluinya. Sempat juga aku membalas beberapa email penting yang perlu tindakan segera. Pagi ni aku agak rajin juga sebab aku dah organize desktop aku yang berselirat dengan macam-macam dokumen dengan menyumbatkannya dalam satu folder baru. Biasalah jika nak cepat apa=apa dokumen baru aku letak kat desktop untuk mudah trace. Tapi sebenarnya ia melambatkan operasi laptop.
Disebabkan bos tiada dan tiada gangguan sepanjang pagi, aku melekat di kerusi dalam ofis kecil aku ni. Sedar-sedar hampir pukul 1.00. Kenyang sarapan jemput-jemput melancarkan kerja sepanjang pagi nampaknya. Terfikir nak lunch di kantin tingkat atas. Penat mendaki tangga ke tingkat 4, rupanya si Siti ni cuti lagi. Entah apalah halnya kantin ni sejak tahun baru tak buka-buka lagi. NAsib baik ada kedai Aji di tepi pejabat. Semenatara menanti masuk waktu Zohor aku pekena secawan sarbat dulu.
Duduk semeja dengan Zakaria, sempat juga bersembang dengn pesara yang kini jadi kontraktor. 'Nasib baik saya dapat jadi rakaniaga di TNB ni, dapatlah tampung belanja. Pencen saya kecik, RM 600 saja', dia membuka cerita. Betul jugak tu, zaman sekarang ni dengan duit RM 600 apa boleh dapat untuk sebulan hidup? Bawah paras miskin tu. Aku beritahu dia, 'saya nanti kalau pencen cuma dapat RM 400 aja, lagi lah kecik!' Sekarang nipun sejak 6 bulan lalu aku dah merasa pencen kerajaan yang mula diberikan untuk semua yang ambil option TNB semasa LLN disawatakan. Umur 50 tahun dah boleh ambil pencen. Tapi sebab pencen tu masuk sekali dengan akaun gaji, akupun tak perasan bila berbelanja. Tunggulah 6-7 tahun lagi, mahu rasanya setiap wang yang keluar aku tulis dalam buku.
Solat Zohor di surau depan ofis ni saja. Surau ini walaupun ada imam, tapi sebab beliau kena imamkan masjid, siapa-siapapun boleh jadi imam gantian. Sebab mungkin semangat nak solat tu awal agaknya, giliran akulah jadi imam terjun untuk Zohor. Sebab dah biasa redah dan semua benda aku buat, bab jadi imampun aku tak tolak. Kelebihan jadi imam ni sebenarnya kita solat lebih khusyuk. Kalau tak khusyuk mahu solat Zahor dibuatnya 3 atau 5 rakaat. Nahas.
Lunch agak lewat sikit hari ni. Bawa Ismail sekali sebab minggu lepas dia dah belanja. Orang berbudi kita berbahasa. Destinasi lunch aku hari ini kat Restoran Tijah di Jalan Hang Tuah. Masuk saja Restoran tuanpunya kedai dah siapkan meja. Dia dah kenal aku. Walau datang berdua, dia tetap sediakan aku makan berhidang. Si Ani pembantu kedai cepat-cepat menghantar lauk-lauk yang aku pesan. Sebab dah lewat dan banyak lauk dah habis, kami menjamu selera masak asam pedas tetel, perut masak cili api, ikan goreng, sayur pisang masak lemak, ulam raja dan kacang boto, sambal belacan dan kicap bawang. Tak cukup lagi tu tambah pula sup tulang semangkuk. Berat perut dibuatnya. Tak hairanlah bila masuk kerja nak terlelap dibuatnya.
Memang tak ada cerita menarik nak dikongsi sepanjang hari ini. Tersilap catit nanti ada pulak orang yang terkena. Sedaya mungkin aku cuba elakkan untuk tidak paparkan yang negatif dalam entry ni. Tapi perlu difahami setiap hari yang dilalui tidak semuanya manis. Politik dan sepak terajang dalam kerja ni memang ada dan kena dihadapi. Setelah hampir 28 tahun kerja, aku dah masak dengan semua benda-benda tu. Lantak pi lah..
Makin petang semakin semangat pula aku bekerja sampai solat Asarpun hampir terlajak. Kerapkali aku solat Asar dalam bilik selepas 5.30 petang. Walaupun waktu masuk awal, rasa tak tergamak nak tinggalkan waktu kerja sedangkan selepas itu waktu kerja dah tamat. Logiknya Allah bagi waktu-waktu solat itu berserta dengan tempohnya. Walaupun digalakkan solat di awal waktu, tetapi sebab waktu yang ada panjang lagi, tak salah rasanya dilengahkan sedikit selepas waktu kerja. Lagipun kerja pun adalah satu ibadah juga. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment