Monday, February 13, 2012

11.2.2012

Pagi in tak pergi jogging nampaknya. Awal-awal lagi wife dah ajak cari kedai untuk sarapan. Mulanya dia ajak cari lauk, tapi sebab pagi ini ada kerja yang nak dibuat, aku tangguhkan cari lauk esok hari. Habiskanlah dulu apa-apa yang ada dalam fridge tu. Pagi ini kami menuju ke warung Nek Munah di Sg. Petai tu lagi. Bagai nak pecah kedai tu pagi ini dipenuhi pelanggan. Begitulah keadaannya bila makanan yang disediakan sedap dan harga berpatutan.. Agaknya bangun saja tidur orang-orang ni dah fikir untuk isi perut. Itu sebab mereka dah mendahului aku.

Pagi ni aku order nasi lemak telor mata dengan kopi. Wife pula minta bee hoon sup dan milo. Aku bungkuskan nasi ayam untuk orang bujang yang malas nak ikut tu. Sarapan yang agak heavy ni baru  berharga RM 11.50. Ini dah kira mengalahkan harga sarapan 1Malaysia yang aku tengok di http://www.1pengguna.com.my/. Kadangkala sesetengah kedai tu gimik saja lebih. Kalau nak sarapan yang betul-betul murah pergi saja warung Haji depan pintu masuk TNB kat Banda Kaba tu. Minum pagi 4-5 orangpun tak habis duit RM 5.00.

Habis bersarapan aku terus balik rumah sebab nak hadiri jemputan ke Majlis Perlantikan Pengawas dan Ketua Darjah SRJK(C) Pay Hwa di Paya Rumput. Macamana boss aku boleh minta aku hadir majlis macam ni. Nak banyak soalpun susah juga, jadi aku ambil langkah lebih positif. Aku tetapkan minda untuk aku ambil kesempatan ini sebagai  satu usaha mengujudkan perhubungan antara TNB dan pengguna, dan aku sebagai orang Melayu dengan masyarakat Cina.

Walaupun sekolah ini aku tahu dekat dengan rumah aku, tapi aku tak pernahpun sampai ke situ. Berpusing juga aku mencari jalan masuknya. Uniknya kampung Paya Rumput ini mepunyai 3 buah sekolah yang bersempadanan antara satu sama lain. Ada Sekolah kebangsaan, sekolah rendah Tamil dan juga sekolah Cina ini. Begitulah harmoni dan bebasnya pilihan diberikan kepada penduduk setempat. Berbanding dengan sekolah kebangsaan yang besar kerana muridnya yang ramai dan merupakan sekolah rendah tahap elit, sekolah Cina yang aku pergi ini duduknya di belakang dan tidak berapa besar. Maklumlah bilangan muridnya cuma 165 orang sahaja. Tapi sekolah ini juga telah dapat bangunan baru dan merupakan sekolah bantuan penuh kerajaan.

Apabila tiba sahaja di sekolah, guru besar dan guru-guru lain menyambut dengan ramahnya. Faiz pun nampaknya dah tiba dulu. Hari ini dalam sejarah kiranya ni sebabnya dalam aturcara tercatat aku kena sampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis pada pagi ini. Rupanya pagi ini aku jadi VIP untuk sekolah ni. Bila aku semak-semak sebetulnya Pengerusi PIBG, En Vincent Low yang juga merupakan journalist MHI nak supaya TNB berikan sedikit info keselamatan untuk murid-murid serta cerita tentang elektrik. Bagus juga ideanya itu dan kesempatan untuk buat promosi percuma. Memang baik. Sayangnya tak dapat nak sediakan pameran sebab team pameran terpaksa berada di Bukit Katil kerana ada majlis yang lebih besar di sana.

Bila majlis hendak dimulakan aku dijemput masuk dengan tertibnya. Kembang kecik hati aku dibuatnya. Nasib baik tak ada tarian naga atau singa. Sebab orang menghormati jadi aku hormatilah protokol majlisnya. Ketika anak-anak murid yang majoritinya dari kaum Cina ini menyanyikan lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya, hati aku cukup tersentuh. Mereka menyanyikan dengan begitu bersemangat sekali. Semangat cintakan tanah air telah ditanamkan dalam setiap hati anak-anak yang kecil. Kerana mungkin sebab kita tidak mahu bercampur dan mengasingkan diri, maka adakalanya kita berprasangka buruk. Siapalah yang tidak mahu menghargai tempat tumpah darahnya dan ingin hidup dalam aman damai?

Selepas nyanyian aku diminta memeriksa perbarisan yang terdiri dari pengawas, penolong pengawas, pengawas perpustakaan, ketua darjah dan juga penolongnya. Nak tergelakpun ada rasanya. Tapi kerana aku lihat anak-anak kecil itu semuanya begitu patuh dan berdisiplin aku pun memeriksa perbarisan tu, ala-ala menteri. Mana-mana anak murid yang tidak kemas kolar baju atau tali lehernya aku kemas dan perbetulkan. Secara spontan aku terasa amat mengasihi anak-anak kecil ini walaupun hanya seorang sahaja diantara mereka yang berbaris itu murid Melayu. Batasan kaum terhapus dari hati aku.

Agenda seterusnya aku diminta berucap. Teks ucapanpun tak disediakan. Apa yang aku nak sampaikan ni? Faham ker mereka apa yang aku cakapkan nanti? Yang darjah satu atau dua tu aku pasti tentu kurang faham lagi bahasa melayu. Aku pula, bahasa mandarin yang aku tahu sungguh cuma 'wo ai ni' saja. Dah dijemput tu terpaksalah aku berucap juga. Aku pujilah mereka kerana begitu berdisiplin dan dapat menyanyikan lagu-lagu kebangsaan dan negeri dengan begitu baik sekali. Aku ingatkan mereka bahawa mereka nanti pewaris kepada negara ini dan sentiasalah amalkan sifat satu hati dan menghormati antara satu sama lain, dengan mengenepikan perbezaan budaya dan anutan agama. Aku juga minta mereka belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu itu penting untuk kehidupan. Wah, macam pak menteri pula aku. Sambil itu aku ceritakan sedikit tentang TNB dan penjimatan elektrik. Bila aku beri contoh dalam suasana pagi yang terang dan berangin ini tak perlulah memasnag lampu dan kipas untuk menjimatkan elktrik, cepat-cepat mereka memadamkan suis. Maknanya mereka fahamlah tu apa yang aku sampaikan tu.

Selesai berucap dan merasmikan majlis aku kena pula sampaikan sijil-sijil lantikan. Bayangkanlah setiap orang daripada 30 murid tu mengucapkan, 'Selamat pagi tuan, terima kasih tuan'. Cukup besar rupanya penghormatan mereka. Akhirnya semua penerima sijil itu melafazkan ikrar yang diketuai oleh seorang murid perempuan. Walaupun tubuhnya kecil, aku pasti budak ini bijak. Dia dapat mengingati dan melafazkan ikrar dengan fasih dan bersemangat sekali. Selesai sesi bergambar aku minta izin untuk beredar. Bukannya apa, aku kurang selesa bila terlalu diberikan penghormatan. Aku tinggalkan Faiz untuk taklimat keselamatan sebab aku nak menjengah program pameran di Bukit Katil pula. Bagi membalas penghormatan yang diberikan aku sampaikan sedikit sumbangan peribadi kepada guru besar untuk sekolah tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan yang kecil itu menyedarkan mereka juga bahawa aku juga prihatin dan menghargai usaha murni sekolah tersebut mendidik anak bangsa.

Tanpa singga ke rumah aku terus ke Bukit Katil untuk meninjau program PIBG Sekolah-sekolah Parlimen Bukit Katil. Program ini memang dapat sambutan luarbiasa. Nak meletakkan kenderaan pun hampir 4-5 km dari tapak majlis dah tak ada tempat. Aku bernasib abik apabila ada kenderaan yang keluar di kakilima jalan setelah aku buat satu pusingan. Mungkin sebab ini majlis di kawasan Ketua Menteri dan yang terlibat adalah kalangan guru-guru dan murid-murid maka kawasan Rumah Melaka ini begitu sesak sekali. Banyak khemah-khemah didirikan dan setiap sekolah nampaknya ada aktiviti perniagaan tersendiri. Baik juga Camilla dapat memaksa penganjur berikan ruang pameran dalam dewan, jika tidak mahu masak dibuatnya bila berada di khemah luar. Cuaca memang panas betul.

Sempat juga aku melayan beberapa pengunjung yang buat aduan di booth kami. Kesempatan bertemu masyarakat begini memang tidak kami lepaskan. Inilah peluang untuk beramah mesra dan menyampaikan maklumat yang tepat jika ada pengguna yang bertanya atau membuat aduan. Sempat juga aku bersalam dengan Ketua Menteri apabila beliau selesai dengan acaranya di pentas. Itu dah kira tanda punch card kehadiran TNB dan bolehlah aku beredar setelah hampir 2 jam di situ.

Walaupun aku tiba rumah agak lewat, aku tetap makan lunch yang wife sediakan. Lagipun tiada apa yang aku makan sejak sarapan pukul 8.30 pagi tadi. Petang-petang gini kalau baring tentu terlelap, jadi aku ajaklah wife jalan-jalan ke Jusco di Ayer Keroh. Memang lama dah tak ke sana. Seminggu sekali bawa dia berjalan begini taklah dia terasa sangat terpenjara di rumah. Sama tu dapat juga carikan sepasang dua pakaian untuk anak bujang aku yang melekap kat rumah tu. Bila ajak ikut macam-macam alasannya. Petang ni alasannya nak bersihkan alat-alat senaman yang dah berhabuk tu. Dia nak mula balik exercise. Iyalah anak.

Membelibelah hari sabtu ni kena bawa beg plastik. Kalau ikutkan memang tak convenient betul bila beli barang tak disediakan beg plastik. Nak beg plastik kena bayar 20 sen. Memang niatnya baik untuk selamatkan alam sekitar daripada dipenuhi plastik, tapi logiknya bukan hari-hari aku shopping. Tapi untuk kali ini aku ada bawa beg recycle. Dapatlah aku sumbatkan pakaian yang dibeli dalam beg kecil tersebut. Tak ramai orang di Jusco ni. Pekerjapun nampaknya lebih rajin bersembang dari nak melayan pelanggan. Bila dah lapar aku ajak wife masuk restoran Johnny's yang ada menu steamboat tu. Memang gayat aku nak makan steamboat ni. Nak pilih apa nak dimakan dan cara nak masaknya semuanya aku gayat. Nasib baiklah budak pelayan tu rajin melayan. Sebab dia nampak ramahlah maka aku masuk restoran tu. Bolehlah tahanlah rasanya dan cukuplah untuk aku sebagai dinner sekali untuk hari ini...

No comments:

Post a Comment