Sunday, February 12, 2012

8.2.2012

Baru sebentar rasnya tidur 'alarm' dari telefon N97 dah berbunyi pada pukul 5.15 pagi. Sejak dah ada HTC, telefon Nokia yang aku beli dengan harga lebih RM 2ksebelum mengerjakan haji hampir 3 tahun dulu ni dah jadi alarm clock saja. Walaupun berat nak bangun, aku gagahkan juga badan. Selepas disiram dengan hot shower dan shower bath dettol badan terasa segar sedikit. Tak sempat nak berjamaah Subuh di surau kerana aku kena bergerak awal. Habis sahaja solat Subuh aku terus bersiap. Cukuplah setakat minum secawan milo dan cereal untuk alas perut. Aku membelah pagi dengan berhati-hati untuk perjalanan lebih 200km ke JB. Untuk wife dan anak aku bekalkan sedikit wang belanja. Tanggungjawab mesti ditunaikan dulu, maklumlah 3 hari nak tinggalkan mereka.

Menghala ke arah JB pada waktu pagi memang menyiksakan. Bukannya apa, tetapi kerana musim panas begini cahaya matahari pagi tepat masuk ke mata dan begitu menyilaukan. Kepala juga terasa pening-pening. Aku sapukan minyak cap kapak ke tengkuk dan kepala. Sepanjang perjalanan aku hanya mampu berzikir dan berdoa supaya segalanya dipermudahkan. Selepas kawasan Pagoh menghala Air Hitam lebuhraya diselubungi jerebu. Penglihatanpun terbatas. Ada baiknya juga sebab ketika di sini cahaya matahari jadi pudar. Selesalah sedikit aku memandu. Alhamdulillah lebih sedikit pukul 9.00 aku tiba juga di Menara MSC Cyberport ini. Kereta Perdana yang baru dibaiki ini tidak menghampakan aku pagi ini. Cuma untuk mencari tempat parking di menara ini agak sukar. Selepas turun naik tingkat 4 dan 5, rezeki akulah bila ada kereta yang keluar di tingkat 4. Untuk ke tingkat mahkamah, aku kena turun dulu lif ke lobby. Kemudian barulah naik lif lain untuk ke tingkat 23A. Apasal guna 23A bukan 24? Fobia betul mereka ni dengan angka 4 rupanya.

Bayangkanlah apa perasaan anda bila kes dah sedia untuk bicara, defendan minta untuk nego semula dulu. Hakim memanglah suka sebab tak membuang masanya, sebab ada banyak kes lain yang perlu didengar. Tapi kami yang jadi saksi ni macamana? Banyak masa terbuang. Nasib baik aku ada tugas rasmi lain di JB hingga Jumaat nanti, taklah terasa sangat dipermainkan oleh 'penjenayah' ini. Pagi ini lawyer Syafie yang cool yang mengendalikan kes kami ajak minum di kafe tingkat 5. Boleh tahan juga rasa roti telur sini. Lembut dan kuahnya juga terasa. Walau dah banyak kali ke sini, baru sekali ni aku dapat cuba roti canainya. Selalunya bila habis bicara dahpun tiba waktu lunch dan roti canaipun dah tutup kedai.

Bila jam dah hampir pukul 1.00 aku terus gerak ke Jalan Yahya Awal untuk urusan seterusnya. Alang-alang dah masuk lunch time aku terus ke tingkat 5 Wisma TNB. Agaknya tempat makan mesti tingkat 5 di JB ni ker? Aku alaslah perut dengan nasi berlauk ikan pindang sambil berbual dengan Zakaria. Dia ni dulu rakankerja aku semasa di Kuala Pilah hampir 26 tahun dulu. Cepatnya masa berlalu. Bila dah umur begini cerita hal anak-anaklah saja yang diborakkan. Sebelum nak mulakan tugas pukul 2.00 aku naik ke surau di tkt 6 untuk solat jamak zohor dan asar. Dah selesai ni barulah selesa nak kerja seterusnya.

Hanim, salah seorang ahli panel sesi siasatan dah tiba dulu. Pendakwa dan Defendanpun nampaknya dah bersedia. Bila Zainal yang jadi pengerusi masuk, kami teruskan prosiding. Tak perlu aku sebutkan bicara tentang apa, tapi inilah antara tugas yang terpaksa aku lalui samada suka ataupun tidak. Tugas mencari keadilan untuk syarikat dan juga pekerja yang kena tuduh. Sesi ini sebenarnya adalah sambungan daripada 'perbicaraan' yang kami jalankan pada penghujung bulan November tahun lalu. Pengalaman semasa di mahkamah serta mengendalikan kes seumpama ini dulu menjadikan agak mudah aku menghadapinya. Yang agak sukar cuma apabila kena mencatitkan sebaik mungkin setiap patah perkataan yang diucapkan semasa prosiding. Hampir 20 helai mukasurat aku catitkan untuk sesi petang ini yang selesai hampir pukul 6.00 petang.

Untuk bermalam, Ana dah book untuk aku Puteri Pacific. Aku selesa stay sini bila ke JB. Mungkin sebab hotel agak kosong dan aku agak regular, kali ini diberikannya aku princess deluxe room tapi pada rate biasa, RM 195. Kalau wife ikut dan si Adzrif ada sama, bilik ini just nice kerana dilengkapi  katil kelamin dan sebuah katil bujang. Apa nak buatkan, sebab si Adzrif yang baru dapat lesen kereta semalam tak sabar nak ambil lesennya di JPJ maka terpaksalah aku berseorangan di bilik 805 ni. Jangan terlupa pulak, 805 itu maknanya BOS!

No comments:

Post a Comment