Sunday, February 19, 2012

16.2.2012

Mungkin sebab malam tadi aku tidor agak awal, pukul 4.00 pagi aku telah terjaga. Tentu aku dikejutkan untuk bertahajud agaknya. Peluang untuk aku berada dekat denganNya tidak aku lepaskan. Alhamdulillah, dalam suasana sepi dan dingin itu dapatlah juga aku menilai dan bermuhasabah diri yang tidak habis-habis mengejar dunia ini.

Sempena cuti rehat ini aku ambil peluang untuk beriadah sekejap bersama wife. Kali ini setiap langkah aku mengelilingi taman permainan biasa itu aku kira. Rupanya setiap pusingan memerlukan kira-kira 700 langkah. Pagi ini aku dan wife menamatkan riadah pagi dengan kira-kira 2,000 langkah. Barulah terasa banyaknya. Agak-agaknya kalau sehari berapa sebenarnya kita melangkah bila berjalan ke timur dan ke barat. Jika melangkah untuk kebaikan alangkah bertuahnya. Tapi kalau sebaliknya, aduh betapalah besar sesalannya.

Sebab cuti ini untuk bersantai, wife tah usah ke dapur. Kami cari breakfast di warung pagar putih di Tg. Minyak. Mungkin masih agak pagi, jadi tak ramai sangatlah pelanggan di warung ini. Kami sama-sama makan nasi lemak dan teh o. Hari ini nasi lemak agak terasa tawar dan kurang sedap pula. Tapi aku makan juga hingga habis. Terfikir juga, mungkin jika kurang garam begini satu menu yang sihat juga. Couple di meja depan aku nampaknya lagi teruk. Yang lelaki tak menjamahpun nasi lemak dengan rendang dagingnya manakala isterinya makan ayam yang mematuk-matuk dan mengais-ngais tanah meilih-milih apa yang ada di pinggan. Memang nasi lemak pagi ni tak sedap atau memang mereka tengah konfrontasi tak dapatlah dipastikan. Cuma sedih tengok makan terbuang begitu saja. Mungkin rezeki makhluk alam yang lain agaknya sisa mereka tu.

Rasanya dah lama aku tak hantar kereta untuk dimandikan di carwash. Jadi aku singgahlah kedai cuci biasa tu. Pelanggan pertama rupanya aku pagi ni. Kesian juga aku tengok tukang cuci kereta wanita tu cuci kereta aku sorang-sorang. Bila suruh cuci enjin dia takut pulak. Katanya takut nanti kereta tak boleh start. Aku kata tak apa. Kalau tak boleh start aku akan panggil mechanic. Barulah dia nak semburkan air ke enjin, itupun dengan berhati-hati. Asyik cuci body saja selama ini sampai terbiar enjin kotor begitu.

Tiba rumah aku tengok sekejap FB. Ada berita DJ Ikim.fm meninggal dunia dek kemalangan pagi ni yang dipostkan. Innalillahi wainna ilaihirajiun. Aku macam tak percaya bila terbaca DJ Razak meninggal dunia. Walaupun dia DJ sambilan tapi aku biasa dengar dia ke udara. Suaranya yang tenang dan bersopan melayan panggilan pendengar memang sangat menyentuh hati aku. Umurnya baru 46 tahun. Berita lanjut yang aku tahu beliau meninggal dunia akibat berlanggar sesama motor jirannya selepas hantar anak ke sekolah. Jirannya dilaporkan parah. Begitulah kehidupan dan janji Allah tidak akan dimungkiri. Beliau yang sihat dan masih punya anak-anak yang masih bergantung hidup dengannya telah dijemput Ilahi. Wajar sangatlah ambil iktibar dengan perkara macam ni. Kematian memang semua orang akan hadapi. Tapi apa bekal untuk dibawa sama untuk menghadapi kehidupan yang kekal itu nanti?

Sebab hari bercuti ni aku nak bersantai-santai sahaja dengan wife, jadi aku dah aturkan program untuk hari ni. Makan tengahari sate dan mee rebus di Kg Jawa dan kemudian nak beli rempah mee bandung di Muar. Kemudian nak singgah rumah adik aku yang akan melangsungkan perkahwinan anaknya awal bulan depan. Aku belum jengah-jengah dia lagi dan rasa nak berikan dia sedikit sumbangan dulu. Maklumlah kahwin anak pertama tentu belanjanya besar.

Kalau dikutkan sakit juga hati bila pelawa anak aku yang seorang ni bila dia tak nak ikut. Daripada hilang mood cuti aku, kami tinggalkan saja dia sorang-sorang di rumah. Macam-macam alasan diberikannya. Aku memang dah tak kuasa nak layan. Paip pvc dan hos getahpun wife aku dah simpan, tak jadilah aku nak 'mengugut' dia.

Warung makan di Kg Jawa tu rupanya dah pindah depan surau. Baru pindah rasany. Servisnya hari nipun agak kelam kabut. Ramai yang merungut. Warung ni memang jadi favorite orang-orang kampung yang datang ke Melaka. Dah turun temurun sate dan mee rebusnya. Cuma mamak cendol saja aku tengok tak ada. Punyalah ramai orang kat warung ni. Baru pukul 12.00. Nasib baik juga ada meja kosong yang berkongsi dengan meja lain. Memang biasa bila makan sini boleh share meja dengan orang lain. Cuma bila makan masing-masing hadap hidangan sendiri. Jika order sate tak perlu beritahu nak sate apa. Standard saja sate yang akan dihantar, iaitu dalam 20-30 cucuk sate ayam, daging, perut, hati dan kerang. Kalau makan sorangpun kena hadap banyak tu. Tpi jangan risau, apa yang dimakan itu yang kena bayar. Walaupun jenuh menunggu makanan sampai tapi aku puashati sebab hajat tercapai. Sekarang warung ni dinamakan Line Clear Kg Jawa. Wah, macam nama warung nasi kandar Line Clear Penang pulak!

Lepas makan aku singgah beli terompah di kedai buruk depan warung tu. Kawasan ni memang peniaganya berniaga kecil-kecilan saja. Sekadar untuk hidup agaknya. Terompah yang berwarna warni tu menarik perhatian kami. Selepas mencuba kami ambillah sorang sepasang. Tak mahalpun, cuma RM 9.50 saja untuk dua pasang tu. Nyonya yang agak peramah tu tercari-cari syiling baki untuk pulangkan kepada aku. Tak sampai hati aku nak ambil sebab mengenangkan berapa sen sangat dia dapat dengan jual terompah-terompah tu. Dalam masa yang sama dia juga bela ibunya yang uzur yang tebaring di lantai. Tak berapa senpun syiling 50 sen tu berbanding pengorbanan dia tu. Simpati betul aku. Agak terkilan juga aku sebab planggan yang sebelum aku beriya-iya minta tawar 50 sen bila beli terompah yang juga harga RM 9.50 dan penjual itu setuju. Malu rasanya kalau kita yang agak senang sedikit ni kalau 50 sen pun nak di'palaukan'.

Waktu Zohor belum masuk lagi. Jadi aku teruskan ikut 'aturcara' pergi ke Muar. Sebab jalanpun dah dua lane, dari Melaka ke Muar rasanya tak sampaipun setengah jam. Destinasi aku adalah ke rumah kedai yang juga menjadi kilang serta tempat jualan rempah mee bandung Mak Pon. Dah dua tiga kali aku ke sini, jadi senanglah aku menuju tempatnya yang terletak di Jalan Junid. Wife aku yang baru ke sini sekali kagum juga tengok benda-benda yang dijual. Dah datang dari jauh ni, kami borong 11 paket rempah mee bandung dan 4 paket sambal ikan bakar. Sama tu wife capai juga 2-3 paket karipap segeranya. Semuanya dijual dengan harga RM 7.00 sepeket. Daptlah save RM 2.00 setiap satu berbanding kalau beli di pasar Melaka. Itupun nasib kalau ada.

On the way balik aku singgah untuk solat zohor di Masjid Sultan Ibrahim yang cantik tu. Tempat wudhuknya memang cantik dan bersih. Tenang rasanya bila bersolat dalam masjid lama ini juga yang terletak sebelah sungai in. Baru-baru ini Sultan Johor isytiharkan  Muar ini sebagai bandar diraja. Mungkin selepas ini Muar akan tambah berseri lagi.

Sambil tu sempat juga aku meninjau kawasan Tg. Mas. Cuaca agak panas terik jadi aku cuma memerhatikan kawasan itu. Teringat pula masa muda-muda dulu kami makan mee sup yang dijual oleh wak di kawasan itu. Nak dekat 30 tahun ni, semua tu tinggal kenangan. Tapi tekak kami masih terasa bagaimana sedapnya mee supnya. Yang pasti wak tu memang tak aku temui lagi sejak taman rekreasi ni dah dimajukan lama dulu.

Terasa nak cari air untuk minum, tapi nampaknya penjual yang ada baru nak susun kerusi. 'Nanti kita makan cendol yang ada kat kawasan Sg. kesang tu saja', aku beri cadangan kat wife. Tadi memang masa nak pergi aku nampak ada warung-warung cendol yang dah dibuka di kawasan tu. Kami singgahlah kat satu warung yang dah agak uzur. Macam tak yakin saja aku tengok warung yang bertiang tinggi itu dan ada lantainya dah berlubang. Generator yang digunakan untuk mesin air batu menggegarkan lagi warung tu. Tapi sebab pelanggan lainpun macam tak kisah maka kamipun duduk sajalah. Boleh tahan juga rasa cendol kacang merahnya. Wife dapat cendol jagung sebab kacang dah habis. Laris juga bisnesnya.

Anaknya aku lihat sibuk menyiapkan kerja sekolah dan sesekejap menolong ibunya menghidupkan generator apabila ada air batu yang nak di mesinkan. Lebih menghirankan anaknya yang tidur dalam buaian langsung tak kisah walaupun generator yang berbunyi bising tu ada dekat telinganya. Macam tulah kesenangan yang Allah bagi kat orang yang tak bernasib baik macam macam ni. Dalam susah-susah, senang sahaja dia membela anak-anaknya.

Bila aku berborak dengannya, rupanya perempuan muda beranak dua tu orang Melaka. Asalnya dia berniaga di Sg. Ramabai. Tapi sebab jalan baru ni dibuka, pelanggannya berkurangan sebab mereka tak lalu jalan lama tu lagi. Jadi sekarang dia menyewa tanah orang di Sg. Kesang tu untuk berniaga. Rupanya bukan mudah nak dapatkan lesen. Kena dapat persetujuan tuan tanah. Jika atas rezab jalan atau rezab kerajaan memang payah nak dapat lesen. Apapun aku nampak dia happy saja berniga. Anaknya yang bersekolah cina darjah 5 tu pun aku nampak tekun dengan kerja-kerja sekolahnya. Bila nak bayar duit cendol dan pisang tanduk goreng yang aku bungkus sekali, dia beri aku diskaun 20 sen dan pulangkan wang baki RM 3.00 kepada aku. Terfikir dalam hati, 'macamana boleh aku nak terima duit 20 sen dari orang susah dan baik hati begini'. Spontan aku hulurkan lebihan RM 3.00 tu  kepada anaknya itu dan berlalu. Merekapun tak sangka aku buat begitu agaknya dan ucapkan terima kasih. Pesan Dr. Muhaya yang selalu ingatkan supaya jangan lokek memberi dan bersedekah pada orang-orang yang susah nampaknya mempengaruhi aku. Memang perkara ni kecil saja, tetapi jika diamalkan akan menjadikan kehidupan di dunia ini akan lebih indah dan bahagia lagi.

Aku singgah sekejap untuk keluarkan baki duit yang ada di Maybank Merlimau sebelum ke rumah adik aku Zakiah. Sambil tu aku telefon juga dia. Takut-takut dia tiada rumah sebab menjemput. Maklumlah hari majlis  dah semakin dekat. Tiba rumahnya dia dah tunggu aku di pagar rumahnya. Begitulah cara emnyambut tetamu. Terus aku hulurkan duit semasa dia hulurkan tangan untuk bersalam. Tercapai juga hajat nak jumpa adik aku ni. Jiran-jirannya dah ada yang datang menolong menyiapkan barang-barang yang perlu. Aku dah pesan wife supaya jenguk-jenguk nanti rumah adik aku ni untuk bantu apa yang patut. Si Mira yang balik bercuti dah menayangkan kepada aku baju-baju yang dia dah tempah 4 pasang untuk dipakai nanti semasa majlis kak Ijannya nanti. Macam dia pulak yang nak kahwin. Dia ni kesayangan ramai orang. Itu sebab ada saja baju-baju yang kerabat dia belikan. Kali ini sampai dapat 4 pasang.

Sebelum nak menjelang maghrib kami minta diri dulu. Apalah khabar anak yang tinggal sorang kat rumah tu. Tapi tadi dia dah telefon mamanya waktu tengahari dan beritahu dah makan nasi goreng 2 bungkus. Senang lenanglah dia tinggal di rumah nampaknya. Yang penting duit belanja sila tinggalkan. Entah ke mana agaknya kereta aku dah dilenjankan sehari suntuk aku tinggalkan ruamah...

No comments:

Post a Comment