Sunday, November 16, 2014

Belangkas Oh Belangkas

Sudah lebih dua tahun tak rasa makan belangkas. Dah berapa kali cadang nak pergi tapi terbantut. Hari ni pun nyaris tak jadi pergi juga. Sebabnya bila fikir balik minggu depan ada jemputan kahwin anak Pomen Saharudin di JB nanti. Tapi bagi si isteri janji tetap janji.  Disebabkan cuaca nampak baik dan Edi pun tak buat lokum hari ni adalah driver untuk bawa kami ke sana. Berseri-seri muka isteri. Bosan katanya asyik duduk rumah, lama tak jalan-jalan. Boleh caya kah?

Dari rumah ke Kota Tinggi ni jaraknya dalam 250 km. Berbaloi ke tu? Bila dah masuk tahap mengidam tu redah sajalah. Lagipun ada driver paksa rela.

Lebuhraya pun agak aman pagi ni arah ke selatan. Cuma yang memecah ketenangan bila 11 buah kereta Porsche dan Mustang plat negara jiran meluncur laju menguji kereta masing-masing. Maklumlah lebuhraya Malaysia ni agak selesa dan kurang penguatkuasaan, ikut sedap merekalah nak pandu selaju mana. Kalau kena samanpun lebih sikit 100 saja matawang mereka. Tiada hal.

Singgah sebentar di R&R Yong Peng untuk isi minyak dan melepas apa yang patut. Rupanya konvoi kereta tadi juga rehat sebentar di situ. Tapi aku tak ambil kisah pun. Yang menarik perhatian aku  adalah tandas dan wakaf yang menarik yang terdapat di situ. Sempat juga aku ambil gambarnya.



 
Lebih menarik adalah sistem takungan air hujan yang terdapat di tepi bangunan tandas. Lama dah aku berniat untuk buat sistem seperti ini supaya dapat jimatkan penggunaan air. Sekadar untuk siram pokok bunga kenapa perlu guna air terawat. Nampaknya kena hubungi rakan yang kerja Plus untuk tanya di mana takungan ini boleh didapati. Terfikir juga jika benda ini dijadikan bahan bisnes satu hari nanti. Kalaulah dapat bekalkan kepada setiap rumah penakung air ini, tentulah lumayan pendapatan yang diperolehi. Jauh juga lamunan aku ini rupanya. Angan-angan memang banyak cuma realiti belum lagi menjadi.

Dalam diam tak diam, pemanduan berhemah si Edi membolehkan kami selamat tiba di Kota Tinggi. Aku sebenarnya dah ingat-ingat lupa lokasi  restorennya dan tidak juga pasti jika ia dibuka pada hari ahad. Sememangnya rezeki kami ada hari ini. Membelok sahaja ke kanan lampu isyarat selepas menyeberangi sungai bandar itu, tidak sampai 500m sebelah kiri telah nampak Restoren Belangkas Mahkota dengan deretan kereta di depannya menandakan ianya dibuka. Mujur juga masih ada meja kosong dan dapatlah pilih sudut yang privasi sedikit. Maklumlah selepas ini nak melantak puas-puas tanpa hiraukan pelanggan lain.


Menu wajib yang kami pesan ialah ikan sembilang masak asam pedas, kerang cili, kari ayam kampung dan semestinya belangkas bercili. Melihatkan pada juadah yang terhidang memang menyelerakan. Kerana kami cuma bertiga sahaja dan makan cara bersopan demi menikmatinya, tak sedar   hujan turun dengan lebatnya. Selepas selesai makan baru terasa agak khuatir kalau-kalau hujan membawa kepada banjir. Teringat aku kira-kira sepuluh tahun lalu bandar ini ditenggelami banjir. Satu lagi yang aku ingat setiap kali datang ke sini dan terdetik untuk ziarah makam-makam yang ada di sini pastinya tidak kesampaian disebabkan hujan. Apapun jangan dipercayai sangat khuatir nanti boleh menggugurkan iman. Mungkin itu kebetulan.


Keenakan masakan di restoren ini memang tidak dapat dipertikaikan. Sebab itulah semua lauk-pauk yang terhidang habis aku selesaikan. Sifat pekerja dan taukeh kedai yang tidak sombong juga sangat memikat hati pelanggan. RM 70 yang aku bayar selepas diskaun terasa berbaloi sangat. Pasti akan kembali lagi satu hari nanti.


Terlanjur dah berada di selatan ni layankan juga isteri mencuci mata di JPO. Mujur juga ada waze. Mudah aku mencari laluan dalam tanpa tol dari Kulaijaya. Jaraknya tak sampai 14 km dari Kulaijaya sahaja dan trafik tidak sibuk. Setengah jam perjalanan telahpun tiba.

Pelik juga JPO ni bila difikirkan. Walaupun terasing kedudukannya tapi pengunjungnya sangat ramai. Mungkin manusia ini memang sukakan barang berjenama. Berbondong-bondong juga masing-masing membawa beg besar terisi barangan berjenama yang dibeli. Terasa pula aku miskin sebab tidak beli suatu apapun. Lagipun memang aku dah set minda cuma untuk temani isteri saja kali ini. Nak membeli tunggu nanti lain kali. Isteri  tidak pulang dengan tangan kosong. Beli beg tangan lagi. Mujur bukan aku yang kena bayar kan. Maklumlah orang perempuan nafsunya kan ada sembilan. 


Jangan tidak aku singgah sebentar di Starbucks untuk menikmati kopi untuk memanaskan badan yang  kesejukan kerana hujan tidak berhenti-henti dari tadi.


Pada pandangan aku jika tak bawa wang beribu janganlah datang ke sini. Sekali mula membeli mahu rasanya semua benda hendak diborong. Mujur kali ini aku datang dengan poket berlubang!

No comments:

Post a Comment